KUALA KANGSAR, 12 Mac (Bernama) -- Penganjuran Pertandingan Pesta Panjut Kuala Kangsar 2026 selama dua hari bermula 15 Mac dengan peruntukan lebih RM30,000 bertujuan mengetengahkan keunikan tradisi panjut menjelang Aidilfitri.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak Loh Sze Yee berkata sebanyak 13 kampung, tujuh jabatan dan agensi kerajaan serta sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyertai pertandingan yang diadakan kali pertama itu.
“Pertandingan dibahagikan kepada dua kategori membabitkan agensi dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
“Semua panjut bagi kategori agensi akan dipamerkan di Persisiran Sayong manakala panjut peserta kategori JPKK di kampung masing-masing,” katanya pada sidang media selepas meninjau persiapan pesta itu di Persisiran Sayong, di sini hari ini.
Loh berkata pertandingan itu diharap dapat menarik kehadiran pelancong serta perantau yang pulang ke kampung dan secara tidak langsung memberi nilai tambah dalam mempromosi Kuala Kangsar sebagai destinasi pelancongan di Perak.
Beliau berkata semua peserta mula membuat persiapan minggu ini dan pengumuman keputusan rasmi pertandingan dijadualkan pada 16 Mac di Persisiran Sayong.
Juara dua kategori itu akan membawa pulang RM5,000, tempat kedua RM4,000 dan ketiga RM3,000 manakala sagu hati RM500.
-- BERNAMA