KOTA BHARU, 11 Mac (Bernama) -- Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan beberapa kegiatan jenayah termasuk menyamar sebagai anggota penguat kuasa, perlombongan haram dan kes dadah menerusi beberapa operasi di Kelantan serta Terengganu dari 1 hingga 10 Mac lepas.
Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata kejayaan itu dicapai menerusi pelaksanaan Ops Taring Wawasan Kelantan dan Operasi Bersepadu Khazanah yang dijalankan secara berterusan bagi membanteras kegiatan jenayah di kawasan Pantai Timur.
Beliau berkata dalam kes pertama pada 8 Mac lepas, anggota risik Batalion 8 PGA menahan tiga lelaki di Kampung Pasir Pekan, Wakaf Bharu, Tumpat selepas mengesan sebuah Perodua Myvi diparkir di tepi sebuah farmasi di kawasan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan menemui sepucuk pistol jenis Air Sport Series bersama lanyard yang diselit di pinggang seorang suspek selain beberapa barangan dipercayai digunakan untuk menyamar sebagai pihak berkuasa,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kes berasingan pada 10 Mac lepas, PGA bersama dengan pegawai Pejabat Tanah Kemaman menahan dua lelaki dalam serbuan di kawasan lombong Cherul, Kemaman di Terengganu kerana dipercayai menjalankan aktiviti perlombongan bijih besi tanpa dokumen atau lesen sah.
Ahmad Radzi berkata pemeriksaan di lokasi menemukan lima jentera pengorek dengan nilai rampasan dianggarkan RM2.5 juta dan kedua-dua lelaki dibawa ke Balai Polis Ayer Puteh untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara.
Beliau berkata dalam satu lagi operasi pada 9 Mac di ladang getah Kampung Limau Kasturi, Gua Musang, tiga lelaki berusia antara 23 hingga 38 tahun ditahan kerana dipercayai menjalankan aktiviti perlombongan emas secara haram menggunakan sebuah jentera pengorek dan beberapa peralatan lain.
“Rampasan melibatkan sebuah jentera pengorek jenama Hitachi, mesin pam air, beberapa karpet, hos air, palong dan bateri dengan nilai keseluruhan RM541,900,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 137(1)(b) Enakmen Mineral 2001.
Sementara itu, dalam serbuan pada 3 Mac di sebuah rumah di Kampung Gual Sitok, Rantau Panjang, PGA menahan seorang lelaki selepas pemeriksaan menemukan 40 gram ketulan kristal disyaki syabu dan 150 mililiter air ketum.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, dan nilai rampasan dianggarkan RM2,020.
Ahmad Radzi berkata PGA akan terus menjalankan tugas bagi memastikan keselamatan negara dan ketenteraman awam terpelihara selain menggesa orang ramai menjadi mata serta telinga polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah.
-- BERNAMA