AM

PDRM Umum Pertukaran 11 Pegawai Kanan

11/03/2026 03:04 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengumumkan pertukaran 11 pegawai kanan yang membabitkan beberapa jabatan di Bukit Aman serta ketua polis daerah di beberapa negeri.

Setiausaha Polis Malaysia DCP Abdul Rahman Kassim berkata pertukaran itu melibatkan penempatan di Jabatan Pengurusan, Cawangan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil serta Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman.

Beliau berkata Datuk Mohd Faisal Yahya yang sebelum ini Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Jabatan Pengurusan Bukit Aman dilantik sebagai Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) jabatan sama dengan memangku pangkat DCP.

“SAC Abd Rahman Atan yang sebelum ini Ketua Urus Setia KPN (Perundangan) PDRM pula dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Pematuhan Standard) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP.

“Sementara itu, Penolong Pengarah E7A Cawangan Khas Bukit Aman SAC Mohamed Roslan Ahmed Junaidi dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah E7 Cawangan Khas Bukit Aman dengan memangku pangkat DCP,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Rahman berkata turut terlibat dalam pertukaran itu ialah Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Helmi Aris yang dilantik sebagai Ketua Jabatan Pengurusan Johor dengan memangku pangkat SAC.

Beliau berkata Ketua Polis Daerah Wangsa Maju ACP Mohamad Lazim Ismail pula dilantik sebagai Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC.

“Penolong Pengarah Operasi Pencegahan (Operasi) Cawangan Operasi Pencegahan Bahagian Operasi Pencegahan/Koordinasi Sumber Sokongan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman ACP Che Haniza Che Senapi dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah (Koordinasi Sumber Sokongan) bahagian yang sama dengan memangku pangkat SAC.

“Pengarah Operasi Bersepadu Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) di Jabatan Perdana Menteri ACP Annas Sulaiman pula dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Wangsa Maju,” katanya.

Katanya turut terlibat ialah Timbalan Ketua Polis Daerah Putrajaya Supt Azari Miskon yang dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Sibu dengan memangku pangkat ACP.

Selain itu, Ketua Pegawai Latihan (Belanjawan/Naziran) Bahagian Latihan Jabatan Pengurusan Bukit Aman Supt Johar Dasuki dilantik sebagai Komandan PULAPOL Air Hitam, Negeri Sembilan dengan memangku pangkat ACP.

“Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau Supt Champin Piuh pula dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Beaufort, Sabah manakala Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam DSP Khalid Mohamad dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Muallim dengan memangku pangkat Supt,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2533060