JENAYAH & MAHKAMAH

Kerajaan Menang Rayuan Berhubung Perintah Pelarasan Pencen RM1.7 Bilion

09/03/2026 03:30 PM

PUTRAJAYA, 9 Mac (Bernama) -- Kerajaan hari ini berjaya dalam rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkannya membayar tunggakan pencen berjumlah RM1.7 bilion kepada 531,976 pesara berdasarkan gaji terakhir mengikut Pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam 2016.

Keputusan berkenaan dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Lim Chong Fong, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid, dalam permohonan semakan kehakiman difailkan Aminah Ahmad, yang bersara sebagai penjawat awam di Kementerian Luar.

Dalam keputusan sebulat suara itu, Azhahari berkata isu pelarasan pencen telah diputuskan oleh Mahkamah Rayuan sebelum ini pada 2022 berhubung tindakan undang-undang pertama Aminah (saman pemula (OS) pada 2017.

Berikutan keputusan hari ini, kerajaan tidak lagi perlu membayar jumlah tersebut kepada pesara berkenaan.

Aminah, memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 12 Jan 2024, atas kapasiti beliau sendiri dan bagi pihak 56 pesara perkhidmatan awam.

Azhahari berkata kelayakan pencen Aminah serta haknya terhadap tunggakan, yang merupakan perkara utama dalam OS 2017, telah diputuskan Mahkamah Rayuan.

“Oleh itu, isu estoppel akan menghalangnya daripada membicarakan semula perkara sama pada permohonan semakan kehakiman. Walaupun res judicata tidak terpakai, mahkamah juga harus mempertimbangkan sama ada doktrin penyalahgunaan proses terpakai kepada fakta kes,” katanya.

Azhahari berkata dalam rayuan semasa, hakim Mahkamah Tinggi dalam permohonan semakan kehakiman itu tidak mempertimbangkan doktrin penyalahgunaan proses.

“Pada pandangan kami, hakim Mahkamah Tinggi telah melakukan kesilapan apabila hanya mempertimbangkan kebolehgunaan doktrin res judicata sahaja, tanpa mempertimbangkan doktrin penyalahgunaan proses serta mengaplikasikannya kepada fakta kes,” katanya.

Menurut hakim, pemohon (Aminah) tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan hakim Mahkamah Tinggi dalam OS 2017 yang memutuskan bahawa beliau gagal membuktikan kerugiannya akibat Seksyen 3 dan 4 Akta Penyelarasan Pencen (Pindaan) 2013 (PAA 2013).

Azhahari berkata hakim Mahkamah Tinggi telah memutuskan hujah pemohon bahawa pelaksanaan kadar kenaikan pencen tahunan dua peratus lebih merugikan berbanding pelarasan pencen berdasarkan semakan gaji sebelum pindaan di bawah Akta Pindaan 2013 adalah tidak benar, justeru isu kerugian tersebut tidak terbukti.

“Pada pandangan kami, isu kerugian yang dibangkitkan dalam OS 2017 adalah bertujuan menyokong permohonan untuk pembayaran tunggakan pencennya,” katanya.

Hakim berkata Pekeliling No. 1 Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) 2016 sepatutnya dibangkitkan dalam OS 2017 dan isu mengenai kelayakan pemohon terhadap penyelarasan pencen berdasarkan Akta Pindaan 2013 sebelum pindaan adalah sebahagian daripada tuntutan dalam OS 2017.

“Ia sepatutnya dibangkitkan sebagai sebahagian daripada perkara dalam OS 2017, tetapi ia tidak dilakukan, mungkin disebabkan kecuaian atau kesilapan. Dalam keadaan ini, menurut undang-undang, permohonan semakan kehakiman dihalang oleh prinsip res judicata sebagai isu estoppel,” katanya.

Beliau seterusnya berkata Mahkamah Rayuan berpendapat permohonan semakan kehakiman itu merupakan penyalahgunaan proses, dengan niat untuk membincangkan semula isu pembayaran tunggakan dalam pelarasan pencen.

Azhahari berkata isu sama ada Pekeliling JPA No. 1 2016 yang dirujuk sebelum ini merupakan semakan gaji dalam kalangan penjawat awam, yang memberi pemohon hak untuk pelarasan pencen adalah tidak relevan dalam rayuan ini.

“Dalam keadaan ini, kami berpendapat bahawa ini adalah kes yang sesuai untuk kami mengambil tindakan rayuan bagi membetulkan kesilapan nyata yang dilakukan oleh hakim Mahkamah Tinggi. Rayuan ini dengan itu dibenarkan. Keputusan hakim Mahkamah Tinggi yang terdahulu diketepikan,” katanya.

Panel hakim tidak membuat sebarang perintah berhubung kos kerana rayuan melibatkan kepentingan awam dan perhatian meluas.

Pada 16 Jan 2025, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh membenarkan semakan kehakiman Aminah dan mengarahkan kerajaan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membayar tunggakan pencen dalam tempoh tiga bulan dari tarikh keputusan.

Bagaimanapun, pada 4 Mac tahun lepas, Amarjeet membenarkan permohonan kerajaan untuk menangguhkan bayaran tunggakan pencen kepada 531,976 pesara berjumlah RM1.7 bilion, sementara menunggu pelupusan rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Aminah pada awalnya tewas dalam kes berkenaan di Mahkamah Tinggi pada 2020. Beliau kemudian membuat rayuan di Mahkamah Rayuan yang memihak kepada beliau. Kerajaan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam seterusnya memperoleh kebenaran untuk merayu daripada Mahkamah Persekutuan pada 2023.

Pada 27 Jun 2023, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan pindaan pencen itu terbatal dan tidak sah. Panel lima hakim turut menolak rayuan kerajaan serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam untuk mengetepikan keputusan mahkamah berkenaan.

Aminah memohon perintah mandamus bagi mengarahkan responden mempercepat pelarasan pencen mengikut jumlah kelayakan berdasarkan formula terkandung dalam Seksyen 3 dan 6 Akta Pelarasan Pencen 1980 (PAA 1980) sebelum ia dipinda menerusi Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 (PAA 2013).

Beliau turut memohon perintah supaya tunggakan pencen dibayar dalam tempoh 14 hari, selain pengisytiharan bahawa kegagalan berbuat demikian adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Mengikut skim lama, pencen pesara disemak berdasarkan gaji semasa penjawat awam yang masih berkhidmat dalam gred berkenaan. Namun pindaan 2013 memperkenalkan kaedah baharu dengan kenaikan kadar tetap dua peratus setahun.

Sementara itu, Peguam Datuk Dr Baljit Singh Sindhu yang mewakili Aminah, ketika ditemui selepas prosiding berkata beliau menerima arahan daripada anak guamnya untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Kerajaan dan JPA diwakili  Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly@Arwi dan Peguam Persekutuan Mohammad Sallehuddin Md Ali.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2532061