JENAYAH & MAHKAMAH

Ops Pantau: Lebih 40,000 Premis Diperiksa, 785 Kes Dikesan

09/03/2026 12:44 AM

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan sebanyak 40,563 pemeriksaan di seluruh negara menerusi Ops Pantau 2026 bagi memastikan kestabilan harga barangan serta pematuhan undang-undang perdagangan sepanjang Ramadan sehingga menjelang Aidilfitri.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata pemeriksaan yang dijalankan  bermula  19 Feb hingga 7 Mac lepas itu, melibatkan pelbagai premis perniagaan termasuk bazar Ramadan, kedai runcit, serta pasar basah, pasar pagi, pasar malam, pasar tani, pasar raya mini, restoran dan kompleks beli-belah.

Beliau berkata  hasil pemeriksaan berkenaan mendapati sebanyak 785 kes dikesan melibatkan pelbagai kesalahan.

“Dalam tempoh sama, sebanyak 930 aduan telah diterima dan diambil tindakan. Bagi kesalahan yang dikesan, sebanyak 613 kompaun telah dikeluarkan dengan jumlah kompaun RM158,800, manakala nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM4,275,524.

“Daripada jumlah keseluruhan pemeriksaan sebanyak 13,436 pemeriksaan dilaksanakan di bazar Ramadan seluruh negara,” katanya dalam kenyataan.

Azman berkata hasil pemeriksaan di bazar Ramadan merekodkan lapan kes melibatkan kesalahan gagal mempamerkan tanda harga di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] selain kes di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 [Akta 71] serta Akta Perlindungan Pengguna 1999 [Akta 599].

Bagi pemeriksaan di bazar Aidilfitri pula, sebanyak 934 pemeriksaan telah dilaksanakan setakat ini tanpa sebarang kes direkodkan.

“Sebagai perbandingan, pada 2025 sebanyak 4,878 pemeriksaan telah dijalankan di bazar Aidilfitri dengan lima kes direkodkan,” katanya.

Beliau berkata KPDN akan terus melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan di seluruh negara bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan selain melindungi hak pengguna daripada manipulasi harga, penipuan perdagangan serta aktiviti pencatutan.

Sehubungan dengan itu, orang ramai disaran menyalurkan sebarang aduan berkaitan harga barang, bekalan atau aktiviti perdagangan yang meragukan melalui saluran rasmi KPDN menerusi WhatsApp menerusi talian 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN, Call Centre 1-800-886-800 atau aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2531918