KUALA LUMPUR, March 6 (Bernama) -- Institut Jantung Negara (IJN) terus menerajui transformasi penjagaan kesihatan digital Malaysia apabila menjadi hospital pertama di negara ini yang mencapai pengesahan Tahap 7 di bawah model HIMSS Electronic Medical Record Adoption Model (EMRAM).
IJN dalam satu kenyataan hari ini berkata model yang dibangunkan oleh Persatuan Sistem Pengurusan dan Maklumat Penjagaan Kesihatan (HIMSS) itu merupakan rangka kerja lapan tahap yang diiktiraf di peringkat global yang menilai keberkesanan hospital menerima pakai dan mengintegrasikan Rekod Perubatan Elektronik (EMR) ke dalam amalan klinikal.
“Tahap 7 merupakan tahap kematangan digital tertinggi, menandakan persekitaran hospital digital sepenuhnya tanpa kertas yang disokong oleh analitik data lanjutan dan struktur tadbir urus yang kukuh.
"Hospital yang mendapat pengesahan pada tahap ini menunjukkan aliran kerja klinikal yang dioptimumkan, ralat perubatan yang dikurangkan, proses yang diseragamkan dan pembuatan keputusan berasaskan data," menurut kenyataan itu.
Model itu bukan sahaja menilai pelaksanaan sistem digital tetapi juga sejauh mana sistem ini diterapkan dalam aliran kerja harian untuk meningkatkan keselamatan pesakit, dokumentasi klinikal, pengurusan ubat-ubatan, sokongan keputusan klinikal, analitik data dan operasi tanpa kertas.
Mencapai Tahap 7 memerlukan proses pengesahan antarabangsa ketat yang dijalankan oleh HIMSS, termasuk semakan dokumentasi elektronik yang komprehensif, demonstrasi sistem secara langsung, pengesahan aliran kerja dan temu bual dengan pasukan klinikal bagi memastikan sistem digital disepadukan sepenuhnya dan digunakan secara berkesan dalam penjagaan pesakit.
Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Prof Datuk Sri Dr Mohamed Ezani Md Taib berkata pencapaian penting ini mencerminkan komitmen IJN terhadap kecemerlangan digital dan keselamatan pesakit sejak sekian lama.
“Pengesahan Tahap 7 mengesahkan bahawa sistem digital kami bukan sahaja canggih tetapi juga diterapkan sepenuhnya dalam rawatan kardiovaskular. Ia memperkasakan doktor kami dengan maklumat tepat pada masa nyata serta menyokong pesakit kami memperoleh keputusan yang lebih selamat, lebih cekap dan berkualiti tinggi,” kata Dr Mohamed.
Beliau juga berkata dengan pencapaian ini, IJN beroperasi dalam persekitaran tanpa kertas sepenuhnya apabila dokumentasi klinikal, pengurusan ubat-ubatan dan penyelarasan penjagaan disepadukan dengan lancar merentasi kontinum penjagaan.
"Keupayaan analitik lanjutan membolehkan pengawasan klinikal masa nyata, pemantauan prestasi dan penambahbaikan kualiti secara berterusan," katanya.
Sementara itu, Pengarah Informatik Kesihatan dan Perunding Kanan Pakar Bedah Kardiotoraks IJN, Prof Datuk Seri Dr Alwi Mohamed Yunus berkata kejayaan IJN mencapai Tahap 7 menandakan transformasi digital di hospital itu telah diterapkan sepenuhnya dalam budaya klinikalnya.
“Pasukan kami dilengkapi dengan maklumat yang boleh diambil tindakan di tempat rawatan, yang membolehkan kami terus memperhalusi rawatan dan meningkatkan keputusan untuk pesakit.
“Sebagai antara kumpulan hospital terpilih di seluruh dunia yang mencapai status EMRAM Tahap 7, IJN menetapkan penanda aras kebangsaan baharu dalam kecemerlangan penjagaan kesihatan digital dan memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju serantau dalam penjagaan kardiovaskular yang didayakan teknologi,” katanya.
-- BERNAMA