PASARAN

Aktiviti Buru Saham Harga Rendah Pacu Bursa Malaysia Ditutup Tinggi

05/03/2026 07:59 PM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri dagangan Khamis dengan lebih tinggi seiring prestasi ekuiti serantau, dipacu oleh aktiviti memburu saham berharga rendah selepas indeks utama mencecah seketika di bawah paras psikologi 1,700 dalam sesi dagangan sebelum ini.

Pada 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 14.98 mata atau 0.88 peratus untuk ditutup pada paras intra harian tertinggi 1,713.20 daripada paras 1,698.22, semalam.

Sewaktu dibuka, indeks berkenaan menokok 8.03 mata kepada 1,706.25 dan susut ke paras intra harian terendah 1,701.83 dalam dagangan awal.

Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 572 berbanding 511 manakala 523 kaunter tidak berubah, sebanyak 1,016 tidak diniagakan dan 11 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.85 bilion unit bernilai RM3.26 bilion daripada 3.51 bilion unit bernilai RM3.79 bilion, semalam.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI dibuka lebih kukuh pagi ini, malah momentum itu berterusan sehingga sesi petang yang membantu memulihkan sebahagian besar kerugian dicatatkan semalam.

Beliau juga menyifatkan pemulihan itu menunjukkan sentimen pelabur yang berhati-hati dalam membeli saham, di tengah-tengah asas kukuh dan penyusutan pasaran sebelum ini.

Dalam kalangan konstituen indeks, kaunter untung didahului kebanyakannya oleh kaunter bahan asas dan berkaitan minyak, disokong oleh peningkatan mendadak harga tenaga global manakala saham utilit susut berikutan pengambilan untung.

“Sentimen pelabur turut distabilkan oleh keputusan terkini Bank Negara Malaysia (BNM) yang mengekalkan Kadar Dasar Semalaman pada 2.75 peratus, sekali gus mengukuhkan jangkaan dasar monetari domestik terus menyokong pertumbuhan ekonomi dalam keadaan ketidaktentuan luaran kian meningkat,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng menjangkakan aktiviti pembelian pada harga rendah bagi saham mewah yang terlebih jual akan terus menyuntik sokongan secara berkala, terutama apabila penilaian menjadi lebih menarik selepas pembetulan teknikal di pasaran baru-baru ini.

“Kami menjangkakan FBM KLCI bergerak dalam julat 1,690 hingga 1,720 menjelang hujung minggu,” katanya.

Dalam pada itu di peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura meningkat 0.70 peratus kepada 4,846.56, Indeks Hang Seng Hong Kong menokok 0.28 peratus kepada 25,321.34, Indeks Nikkei 225 Jepun meraih 1.90 peratus kepada 55,278.06 manakala KOSPI Korea Selatan naik 9.63 peratus kepada 5,583.90.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank menokok empat sen kepada RM11.70, Public Bank naik enam sen kepada RM4.90, CIMB menambah sembilan sen kepada RM8.04, RHB Bank tidak berubah pada RM8.50 manakala Hong Leong Bank susut lapan sen kepada RM22.98. 

Bagi kaunter paling aktif, Zetrix AI naik satu sen kepada 78 sen, Hengyuan Refining Company menokok lima sen kepada RM1.59, GDB menambah setengah sen kepada 37.5 sen, Tanco dan Velesto tidak berubah masing-masing pada RM1.53 dan 32 sen dan AirAsia X susut 26 sen kepada RM1.42.

Kaunter paling untung didahului Nestle melonjak RM1.10 kepada RM108.10, Malaysian Pacific Industries naik 54 sen kepada RM31.04, Press Metal meningkat 25 sen kepada RM7.65 dan Malayan Cement meraih 21 sen kepada RM8.33.

Kaunter paling rugi menyaksikan Fraser & Neave susut 90 sen kepada RM33, Hong Leong Financial Group turun 42 sen kepada RM20.84 manakala Kelington dan United Plantations masing-masing berkurangan 20 sen kepada RM4.91 dan RM30.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas menokok 82.86 mata kepada 12,517.33, Indeks FBMT 100 melonjak 88.22 mata kepada 12,354.89, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 85.50 mata kepada 12,173.74, Indeks FBM 70 meraih 33.22 mata kepada 17,187.48 manakala Indeks FBM ACE susut 9.36 mata kepada 4,496.46.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 83.99 mata kepada 20,852.77, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 2.44 mata kepada 174.16, Indeks Tenaga turun 1.67 mata kepada 784.94, manakala Indeks Perladangan meningkat 48.24 mata kepada 8,186.90.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama turun kepada 1.82 bilion unit bernilai RM3.05 bilion daripada 2.20 bilion unit bernilai RM3.54 bilion.

Dalam pada itu, jumlah waran berkurangan kepada 731.61 juta unit bernilai RM100.29 juta daripada 922.48 juta unit bernilai RM125.75 juta, semalam.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan berkurangan kepada 290.47 juta unit bernilai RM104.73 juta daripada 377.39 juta unit bernilai RM126.46 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna mencatat sejumlah 370.22 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (245.44 juta), pembinaan (137.37 juta), teknologi (200.85 juta), perkhidmatan kewangan (122.70 juta), hartanah (196.37 juta), perladangan (23.58 juta), amanah pelaburan hartanah (256.81 juta), dana tertutup (78,600), tenaga (295.66 juta), penjagaan kesihatan (81.42 juta), telekomunikasi dan media (50.07 juta), pengangkutan dan logistik (41.51 juta), utiliti (36.27 juta) dan amanah perniagaan (463,900).

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2530818