AM

KEDA Peruntuk RM6.5 Juta Naik Taraf Premis IKS

05/03/2026 11:46 AM

KUALA NERANG, 5 Mac (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) memperuntukkan RM6.5 juta bagi menaik taraf premis industri kecil dan sederhana (IKS) di bawah seliaannya yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 320 usahawan desa di seluruh Kedah.

Pengerusinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata peruntukan itu melibatkan kerja membaik pulih dan penambahbaikan kemudahan asas termasuk aspek keselamatan serta persekitaran premis bagi memastikan ruang perniagaan lebih selesa, tersusun dan memenuhi keperluan semasa.

Beliau berkata inisiatif berkenaan dilaksanakan secara berfasa sebagai komitmen berterusan KEDA dalam memperkasakan ekonomi luar bandar.

“Apabila kemudahan asas dan infrastruktur dipertingkatkan, ia dapat membantu meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi harian usahawan, malah berpotensi menambah hasil jualan hingga 30 peratus,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita  selepas merasmikan Program Santapan Rohani Ramadan Desa KEDA Zon 2 serta majlis penyerahan Kedai@KEDA Kubang Kenyeng di Desa KEDA Kubang Kenyeng di sini, malam tadi. 

Mahdzir berkata KEDA ketika ini mempunyai 180 lot bangunan industri di bawah Taman IKS di beberapa lokasi termasuk Napoh, Sungai Bongkok, Jeniang serta Wang Tok Rendong di Langkawi.

Selain itu, beliau berkata KEDA turut menyediakan 323 lot premis niaga di seluruh Kedah termasuk bangunan pasar raya di Kulim yang disewa oleh Mydin.

Pada majlis tersebut empat unit Kedai@KEDA Kubang Kenyeng yang siap dibina pada Ogos tahun lepas dengan kos keseluruhan RM489,497 termasuk kerja menaik taraf infrastruktur diserahkan kepada usahawan terpilih selepas melalui proses temu duga.

Beliau berkata pembinaan kemudahan itu bertujuan menyediakan ruang perniagaan yang kondusif kepada usahawan tempatan serta menggalakkan penglibatan aktif komuniti dalam aktiviti keusahawanan.

“Lot kedai ini akan diuruskan pihak pengurusan Pasukan Perancang dan Pelaksana Program (4P) Desa KEDA Kubang Kenyeng bagi memastikan pengoperasian yang tersusun dan memberi manfaat optimum kepada penduduk setempat,” katanya.

Sementara itu, penerima lot kedai Mat Akhir Mat Rejab, 51, berkata peluang berniaga di premis yang lebih luas dan selesa membolehkan dia dan isteri mengembangkan perusahaan makanan tradisional seperti muruku, kerepek pisang, kuih batang buruk dan tepung goreng ayam.

Mat Akhir berkata sebelum ini mereka mengusahakan perniagaan itu di bengkel kecil di rumah yang mempunyai ruang sempit dan terhad

“Apabila dapat kedai ini, keadaan lebih selesa dan nampak lebih kemas. Kami akan bekerja lebih gigih untuk mengembangkan perniagaan dan jika ada rezeki mahu mengambil penduduk kampung bekerja bersama kami,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2530532