AM

Politeknik Ungku Umar Lancar Apple Education Classroom Tingkat Pembelajaran Digital

04/03/2026 09:04 PM

IPOH, 4 Mac (Bernama) - Politeknik Ungku Omar (PUO) terus memperkukuh sistem pendidikan dengan melancarkan inisiatif pembelajaran pintar Apple Education Classroom bagi memberi pendedahan kepada pelajar terhadap pengalaman pembelajaran digital lebih interaktif seiring dengan perkembangan teknologi semasa.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abdul Halim berkata pelaksanaan kelas itu membuka ruang baharu kepada pelajar untuk menikmati pengalaman pembelajaran pintar yang lebih terkini dan berteraskan teknologi. 

“Kita bermula dengan kecil, tetapi saya harap ia akan berkembang luas dan juga diharapkan supaya ada pihak di luar sana boleh buka mata dan jalinkan kerjasama yang lebih rapat dengan PUO terutama sekali dalam pembangunan dan penggunaan teknologi dalam pembelajaran. 

“Tentu sekali kita berhasrat dan kita harap dapat diperluaskan (inisiatif ini). PUO adalah antara yang pertama dan kita harap (inisiatif ini) dapat dilaksanakan dengan lancar dan dikembangkan ke tempat lain,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan projek Apple Education Classroom itu, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Dr Shamsuri Abdullah dan Pengarah Politeknik Ungku Omar Dr Salmi Che Meh.

Adam Adli berkata pelaksanaan awal projek berkenaan melibatkan kos kira-kira RM200,000 merangkumi antaranya penggunaan 30 unit iPad dan empat unit iMac sebagai kemudahan utama dalam bilik darjah pintar tersebut.

Apple Education Classroom itu merupakan projek pertama seumpamanya di Zon Tengah dan Utara yang ditempatkan secara rasmi di bawah Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (JTMK), PUO. 

Kelas berkenaan mampu memuatkan sehingga 30 orang pelajar dalam satu sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) pada satu-satu masa, menjadikannya ruang pembelajaran digital yang kondusif, fleksibel dan bersifat kolaboratif. 

Sementara itu, ketika berucap Adam Adli berkata Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merupakan antara tunjang utama dalam agenda pembangunan negara, khususnya dalam usaha memperkukuh daya saing ekonomi dan memenuhi keperluan industri berimpak tinggi. 

“Sejajar dengan itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus memberi penumpuan serius terhadap usaha memperkasa TVET melalui penyelarasan kurikulum yang responsif industri, pengukuhan kolaborasi strategik bersama pemain industri, pemerkasaan pensyarah serta peluasan penggunaan teknologi digital dalam pengajaran dan pembelajaran. 

“Inisiatif ini bertujuan memastikan graduan yang dilahirkan bukan sahaja memiliki kemahiran teknikal yang tinggi, malah berfikiran kritis, inovatif dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan landskap teknologi yang pantas,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

KEYWORDS
      
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2530453