KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sentiasa mengambil pendekatan berhati-hati dan seimbang dalam membuat pendirian berkaitan Konvensyen Kesatuan Antarabangsa bagi Perlindungan Varieti Baharu Tumbuhan (UPOV 1991).
Timbalan Menteri KPKM Datuk Chan Foong Hin berkata kementerian akan memastikan sebarang pindaan atau penyelarasan dasar di peringkat tempatan melalui Akta Perlindungan Varieti Baharu Tumbuhan 2004 (Akta 634) dengan UPOV 1991 adalah selaras dengan kepentingan nasional.
Beliau berkata UPOV 1991 tidak menetapkan larangan secara mutlak terhadap amalan petani untuk menyimpan, menanam semula atau menyediakan benih untuk kegunaan sendiri, sebaliknya amalan itu boleh dibenarkan melalui pengecualian dalam undang-undang negara masing-masing.
“Kementerian komited untuk memastikan hak petani kecil, termasuk amalan menyimpan dan menggunakan semula benih bagi tujuan sara diri, terus dilindungi melalui peruntukan pengecualian di bawah Akta 634,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Pada masa sama, beliau menegaskan perlindungan kepada hak pembiak baka tidak akan mewujudkan monopoli benih, sebaliknya menggalakkan lebih banyak pihak terlibat dalam menghasilkan varieti baharu tumbuhan yang lebih berkualiti serta membolehkan petani untuk memilih lebih banyak varieti.
“Petani juga bebas untuk memilih sama ada menggunakan benih berdaftar yang dilindungi atau benih lain yang tidak tertakluk kepada perlindungan varieti tumbuhan,” katanya.
Beliau menjawab soalan Senator Musoddak Ahmad mengenai pendirian kerajaan terhadap pelaksanaan versi terkini UPOV serta langkah diambil bagi melindungi hak petani tempatan daripada monopoli benih dan kenaikan harga.
Dalam perkembangan lain, Chan berkata kementerian kini sedang memperkukuh pembangunan platform digital bersepadu yang diselaraskan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi memastikan setiap ringgit subsidi sampai terus kepada pengeluar sebenar tanpa sebarang ketirisan.
Beliau berkata inisiatif yang dijangka siap pada pertengahan 2026 itu bertujuan menghimpunkan data pengeluaran, pemasaran, harga serta pergerakan bekalan daripada pelbagai agensi di bawah satu ekosistem data nasional.
“Kami nak melalui integrasi sistem sedia ada seperti pangkalan data pengeluaran, sistem pemantauan pasaran dan portal statistik. Jadi, kerajaan dapat mewujudkan jejak digital yang lebih menyeluruh terhadap aliran bantuan dan subsidi daripada peringkat kementerian sehingga ke peringkat pengusaha," katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Musoddak yang bertanya perancangan kerajaan mengenai kesediaan mewujudkan audit bebas berhubung isu ketirisan subsidi bagi memastikan keyakinan rakyat tidak hanya bergantung kepada laporan kementerian.
-- BERNAMA