Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Dalam tempoh 24 jam terakhir, sekurang-kurangnya tiga insiden besar menjejaskan industri minyak dan gas, membangkitkan kebimbangan kemungkinan krisis tenaga global sekiranya konflik di Timur Tengah terus berlanjutan.
Seorang pegawai kanan Pengawal Revolusi Iran pada Isnin berkata Selat Hormuz telah ditutup dan memberi amaran bahawa Iran akan melepaskan tembakan terhadap mana-mana kapal yang cuba melalui laluan itu.
Sementara itu, Qatar menangguhkan semua pengeluaran gas asli cecair (LNG) selepas serangan dron Iran mengenai kemudahan utama di Ras Laffan dan Mesaieed.
Pada masa sama, Saudi Aramco menghentikan operasi di penapis minyak terbesar Arab Saudi di Ras Tanura, pesisir Teluk Parsi, susulan serangan dron di kawasan berkenaan.
Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata krisis tenaga global mungkin tidak akan berlaku serta-merta tetapi memberi amaran bahawa gangguan berpanjangan boleh menjadi kritikal, dengan ambang tiga minggu dianggap sebagai titik penentu bagi pasaran global.
“Selat Hormuz bukan sekadar garis pada peta. Ia umpama arteri carotid (laluan utama) dunia perindustrian. Anggaran satu perlima daripada minyak dunia, satu perlima LNG, dan sebahagian besar minyak mentah Teluk melalui laluan sempit yang selebar hanya 21 batu di titik tersempitnya.
“Selat Hormuz bukan sekadar garis pada peta. Ia umpama nadi utama dunia perindustrian. Ini kerana sekitar satu perlima minyak dunia, satu perlima LNG, dan sebahagian besar minyak mentah Teluk mengalir melalui laluan yang paling sempit, iaitu hanya seluas 21 batu lebar.
“China, India, Jepun dan Korea Selatan bergantung kepada laluan ini. Gangguan di sini boleh membantutkan pertumbuhan ekonomi, menjadikan pasaran saham Asia hari ini tertekan,” katanya kepada Bernama.
Innes menegaskan persoalan lebih mendesak bukan sama ada selat itu ditutup hari ini, tetapi berapa lama ekonomi global mampu berfungsi sekiranya ia kekal tertutup.
“Jika dilihat, kira-kira 19 juta tong sehari eksport cecair bergantung kepada Selat Hormuz.
“Saluran paip alternatif di Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu hanya mampu mengalihkan sebahagian kecil sahaja. Ini bermakna hampir 16 juta tong sehari berpotensi tersekat sepenuhnya sekiranya berlaku gangguan secara keseluruhan,” katanya.
Sementara itu, BMI, sebuah syarikat di bawah Fitch Solutions, mengekalkan unjuran harga Brent 2026 pada AS$67 setong, walaupun harga minyak meningkat lebih tinggi daripada jangkaan pada suku pertama dan tercetusnya konflik ketenteraan melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran.
Dalam satu nota penyelidikan yang dikeluarkan hari ini, katanya, walaupun risiko peningkatan jangka pendek telah meningkat, pada asasnya ia kekal sebagai kempen ketenteraan yang berjangka pendek, walaupun dianggap penting.
Ini mungkin akan menyebabkan lonjakan harga minyak yang singkat pada Mac, disusuli oleh penurunan mendadak pada suku kedua apabila premium risiko geopolitik semakin berkurangan dan perhatian kembali kepada asas pasaran.
BMI berkata kesan harga keseuruhan akan terhad pada asas purata tahunan, dengan pergerakan dalam beberapa minggu akan datang bergantung kepada dua faktor utama, iaitu kebolehpercayaan transit menerusi Selat Hormuz dan tahap serta tempoh kerosakan kepada infrastruktur minyak dan gas kritikal di rantau itu.
Ia turut menyatakan bahawa transit melalui selat tersebut, secara teknikalnya masih boleh dilakukan, walaupun trafik kapal tangki dilaporkan telah berkurangan sebanyak 85 peratus.
Penurunan itu mencerminkan isyarat paksaan oleh Iran termasuk dakwaan penutupan dan serangan siber, serta peningkatan pengelakan risiko dalam kalangan pemilik kapal, pengendali dan penanggung insurans.
Menurut laporan, sekurang-kurangnya tiga kapal tangki telah diserang di teluk, walaupun kebanyakan terminal minyak masih beroperasi seperti biasa.
Bagaimanapun, operasi di pelabuhan Jebel Ali di UAE, telah digantung.
“Berdasarkan keadaan semasa, transit menerusi selat itu boleh pulih dengan cepat sebaik sahaja konflik itu stabil, seperti yang dilihat ketika perang selama 12 hari pada 2025.
“Senario ini adalah selaras dengan unjuran Brent sedia ada kami,” tambah BMI.
-- BERNAMA