CHUKAI, 1 Mac (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah kapal tanker yang bersauh tanpa kebenaran dalam rondaan Op Khas Pagar Laut dan Op Tiris 3.0 di perairan Kemaman di sini, semalam.
Pengarah Zon Maritim Kemaman Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata kapal berkenaan ditahan selepas dikesan oleh aset ronda APMM pada kedudukan 4.46 batu nautika timur Teluk Penunjok, pada 1.35 petang.
“Hasil pemeriksaan mendapati, kapal berkenaan dikendalikan lima kru termasuk seorang tekong warga Indonesia berusia antara 26 hingga 52 tahun.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, kapal tanker tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliauberkata susulan itu, dua kru bersama dokumen dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk siasatan lanjut manakala tiga lagi kru kekal di atas kapal dan diiring ke lokasi selamat oleh aset APMM.
-- BERNAMA