AM

IAM Rancang Tambah Penerima Bantuan Dalam Kalangan Pengamal Media

01/03/2026 10:04 AM

ALOR SETAR, 1 Mac (Bernama) -- Pertubuhan kebajikan Islamic Aid Malaysia (IAM) merancang untuk meningkatkan jumlah penerima manfaat dalam kalangan pengamal media pada tahun hadapan, susulan kejayaan program sulung mereka menyantuni golongan itu tahun ini. 

Presiden IAM Zawahir Abdullah berkata pada tahun ini, 20 pengamal dan bekas pengamal media di lima negeri iaitu Kuala Lumpur, Perak, Kelantan, Pahang dan Kedah terpilih menerima bantuan di bawah program Jelajah Kasih Ramadan dengan kerjasama Etiqa Takaful.

“Setiap kali Ramadan, kita banyak fokus kepada anak yatim dan golongan asnaf tetapi sebenarnya ramai pengamal media yang turut memerlukan bantuan. Memang kita terlepas pandang dengan golongan pengamal media, sebab itu harus libatkan mereka juga.

“Ada antara mereka menghidap penyakit kronik, ada tanggungan ramai atau uzur. Kita rancang untuk tambah penerima tahun depan bagi memastikan lebih ramai pengamal media yang memerlukan dapat dibantu,” katanya selepas menyampaikan bantuan Jelajah Kasih Ramadan di sini, semalam.

Pada majlis itu, 200 penerima termasuk lima pengamal dan bekas pengamal media di Kedah menerima bantuan berupa pek barangan keperluan asas dan wang tunai.

Sementara itu, Pengarah Wilayah Bahagian Utara Etiqa Insurans dan Takaful Hazli Mohamed Kassin berkata penglibatan pihaknya adalah sebahagian daripada tanggungjawab zakat sosial yang membantu golongan kurang berkemampuan dan memerlukan.

“Kita bagi bantuan dalam bentuk barangan keperluan asas, diharap ia sedikit sebanyak dapat membantu mereka membuat persiapan Ramadan dan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi,” katanya.

Bagi bekas jurugambar New Straits Times Press (NSTP), Shahrizal Md Nor, 60, yang berkhidmat selama 30 tahun, beliau bersyukur ada pihak sudi membantu bekas pengamal media sepertinya yang kini sedang diuji dengan penyakit jantung.

“Saya kena serangan jantung, sebulan selepas berhenti kerja dan sekarang memang tidak mampu untuk bekerja kerana tidak boleh buat kerja berat. Bantuan diberikan ini sedikit sebanyak dapat bantu untuk menampung perbelanjaan menyambut Aidilfitri nanti,” katanya.

Wartawan sambilan Media Prima, Roshila Murni Rosli, 35, yang bergantung kepada rawatan dialisis sejak 2022 bersyukur kerana bantuan itu membolehkannya membuat sedikit persiapan Aidilfitri memandangkan ketika ini dia lebih fokus kepada kos rawatan hospital.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2528991