KOTA KINABALU, 1 Mac (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Sabah sedikit berkurang kepada 6,462 orang daripada 2,124 keluarga pada 8 pagi ini, berbanding 6,595 orang daripada 2,173 keluarga semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan 30 pusat pemindahan sementara (PPS) masih diaktifkan melibatkan tiga daerah iaitu, Beaufort, Membakut dan Tenom.
Di daerah Tenom, jumlah mangsa kekal tertinggi iaitu 4,931 orang, diikuti Beaufort (1,462) dan Membakut (69).
Untuk makluman, daerah Beaufort dan Membakut terletak di Pantai Barat Sabah, arah barat daya dari Kota Kinabalu, manakala Tenom berada di kawasan Pedalaman negeri itu.
Secara keseluruhan, jumlah kawasan terjejas akibat banjir di ketiga-tiga daerah terbabit kekal 155 kampung.
Setakat ini, tiada kemalangan jiwa atau mangsa terkorban dilaporkan.
-- BERNAMA