KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Kelewatan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengemukakan penyata kewangan berpunca daripada isu teknikal yang tidak dijangka semasa fasa pembangunan sistem perakaunan dan kewangan MPOB yang baharu iaitu MPOB MyFAS.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata masalah teknikal itu menyebabkan gangguan dalam proses penyediaan penyata kewangan mengikut piawaian yang ditetapkan.
“Pihak MPOB mendapat kelulusan pelanjutan had masa bagi penghantaran penyata kewangan sehingga 30 Sept, 2025 melalui surat Kementerian Kewangan Malaysia atau MOF yang bertarikh 16 Julai 2025,” katanya katanya sewaktu menggulung usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata bagi memastikan perkara ini tidak berulang pada penyata kewangan 2025, langkah-langkah proaktif sedang dan akan diambil MPOB.
“Sebagai langkah segera, MPOB berhasrat untuk melantik syarikat vendor luar yang mempunyai kepakaran khusus bagi membantu mempercepatkan penyediaan penyata kewangan bagi 2025.
“Keduanya, pemantauan rapi MPOB akan menyediakan carta Gantt bagi memastikan penyata kewangan 2025 dapat disiapkan mengikut tarikh yang ditetapkan.
“MPOB akan memberikan komitmen penuh untuk mengemukakan penyata kewangan 2025 sebelum atau pada 30 Jun 2026 selepas pembentangan kepada Mesyuarat Lembaga dijangka pada 14 Mei 2026 selaras dengan tempoh enam bulan yang ditetapkan di bawah Akta 240,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bersetuju penyelidikan dan pembangunan (R&D) merupakan nadi kepada daya saing industri komoditi.
“Industri tidak harus terus bergantung kepada model lama tetapi cabaran juga menuntut produktiviti tinggi, mekanisme dan produk bernilai tambah.
“MPOB mempunyai banyak hasil R&D yang berpotensi tinggi. Bagaimanapun tidak semua teknologi boleh terus dikomersialkan secara automatik kerana proses pengkomersialan berbeza daripada proses penyelidikan,” katanya.
Tambahnya, bagi mengkomersialkan hasil R&D, beberapa faktor harus dilihat seperti kesediaan teknologi, daya maju pasaran kos pengeluaran pada skala industri, keupayaan rakan industri dan lain-lain.
“Antara cabarannya adalah faktor jurang antara makmal dan pasaran (lab-to-market gap) dan banyak teknologi perlu pelaburan besar.
“Pendekatan ke hadapan MPOB adalah menumpukan kepada teknologi yang mempunyai impak industri yang jelas, kebolehskalaan dan potensi pulangan yang mampan supaya sumber dan peruntukan dapat digunakan secara optimum,” katanya.
Beliau menambah KPK menggalakkan kerjasama strategik dengan industri atau syarikat berkaitan kerajaan.
Noraini berkata KPK akan memastikan inovasi memberi nilai tambah kepada ekonomi negara dan pada waktu yang sama boleh membantu meningkatkan pendapatan pekebun.
“Sehingga 2025, sebanyak 1,416 R&D dilaksana dan daripada jumlah itu sebanyak 240 R&D MPOB dikomersial yang mengumbang kutipan royalti RM48.8 juta dan pada waktu yang sama 364 teknologi sedia untuk dikomersialkan,” katanya.
-- BERNAMA