JENAYAH & MAHKAMAH

Pengarah Syarikat Didakwa Gagal Bayar Cukai Perkhidmatan, Penalti RM38,362

23/02/2026 12:45 PM

GEORGE TOWN, 23 Feb (Bernama) -- Seorang pengarah syarikat perkhidmatan pembersihan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas sembilan pertuduhan gagal melunaskan cukai perkhidmatan dan penalti berjumlah RM38,362 bagi tempoh antara 2021 hingga 2024.

Mujeebur Rahman Hithayatullah, 34, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Irwan Sunaibon.

Mengikut pertuduhan, Mujeebur Rahman selaku orang kena cukai di bawah Akta Cukai Perkhidmatan 2018 (Akta 807) didapati gagal membayar amaun cukai perkhidmatan dalam tempoh yang ditetapkan, iaitu 1 Nov 2021 hingga 31 Dis 2021, 1 Jan 2023 hingga 28 Feb 2023, 1 Mac 2023 hingga 30 April 2023, 1 Mei 2023 hingga 30 Jun 2023, 1 Julai 2023 hingga 31 Ogos 2023, 1 Sept 2023 hingga 31 Okt 2023, 1 Nov 2023 hingga 31 Dis 2023, 1 Jan 2024 hingga 29 Feb 2024 dan 1 Mac 2024 sehingga 30 April 2024.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Stesen Georgetown, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Bahagian Cukai Dalam Negeri (SST) di sini antara 2 April hingga 31 Julai 2024.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 26(8) Akta Cukai Perkhidmatan 2018 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa JKDM A. Uvarajan manakala OKS tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 31 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2526522