PUTRAJAYA, 23 Feb (Bernama) -- Malaysia bebas daripada penyakit Nipah dan situasi itu sentiasa dipantau dan dipelihara melalui langkah pencegahan serta kesiapsiagaan berterusan, menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).
DVS dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebagai agensi bertanggungjawab terhadap kesihatan haiwan dan pencegahan penyakit zoonotik, ia sentiasa menjalankan pemantauan berterusan dan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan bagi memastikan status bebas Nipah negara terus terpelihara.
“DVS mengambil maklum mengenai kejadian wabak penyakit Nipah yang dilaporkan berlaku melibatkan manusia di West Bengal, India baru-baru ini dan sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga serta berwaspada bagi mencegah sebarang risiko kemasukan dan penularan penyakit itu ke negara ini,” menurut DVS.
DVS memaklumkan tindakan pemantauan dilaksana melalui aktiviti survelan tahunan yang dijalankan dalam babi domestik dan babi hutan untuk pengesanan awal kewujudan penyakit, dan pada tahun lepas lebih 2,000 sampel babi domestik dan 48 sampel babi hutan diuji dan semuanya menunjukkan keputusan negatif virus Nipah.
DVS juga mengawal import daging babi dari luar negara, iaitu hanya negara yang bebas Nipah dibenarkan eksport ke Malaysia.
Virus Nipah adalah penyakit zoonotik berjangkit yang berpunca daripada haiwan kepada manusia dan kelawar buah (flying fox) dikenal pasti sebagai perumah semula jadi virus ini manakala ternakan babi berperanan sebagai perumah pengganda (amplifying host) dengan jangkitan dalam populasi babi boleh meningkatkan risiko penularan virus kepada manusia dan haiwan lain.
Tanda klinikal penyakit Nipah pada babi yang dijangkiti merangkumi gejala pernafasan seperti batuk, sesak nafas dan lelehan hidung, demam, kurang selera makan, terketar-ketar dan sawan serta kadar jangkitan yang tinggi dalam ladang walaupun kadar kematian mungkin rendah hingga sederhana.
Sehubungan dengan itu, DVS menyeru penternak babi supaya sentiasa berwaspada, terutamanya jika ladang berhampiran dengan dusun buah-buahan atau mempunyai pokok buah-buahan di dalam atau sekitar kawasan ladang yang boleh menarik kehadiran kelawar untuk mendapatkan makanan.
Penternak turut dinasihatkan memastikan amalan biosekuriti ladang berada pada tahap yang tinggi dan melaporkan segera kepada pihak DVS sekiranya terdapat sebarang tanda penyakit yang mencurigakan pada ternakan.
“Penyakit Nipah adalah penyakit wajib lapor di Malaysia dan orang awam dinasihatkan tidak panik, mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi dan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih,” menurut DVS.
DVS turut menyeru semua pihak khususnya penternak agar sentiasa peka terhadap perkembangan semasa penyakit haiwan dan melaporkan segera sebarang tanda klinikal kepada Pejabat Perkhidmatan Veterinar berhampiran atau melalui talian hotline 03-8870 2041.
-- BERNAMA