Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Ringgit dijangka menyaksikan urus niaga berhati-hati pada minggu depan menjelang pengumuman petunjuk utama ekonomi Amerika Syarikat (AS), termasuk Indeks Keyakinan Pengguna dan Indeks Harga Pengeluar selain sesi ceramah beberapa pegawai Rizab Persekutuan.
Berikutan itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kalangan peniaga mata wang dijangka berpendirian lebih berhati-hati sementara menunggu pengumuman data terbabit.
“Ringgit berkemungkinan bergerak dalam julat 3.90 hingga 3.93 (berbanding dolar AS) dan 3.90 akan terus menjadi paras rintangan psikologi,” katanya kepada Bernama.
Bagi perbandingan secara mingguan, ringgit mengakhiri urus niaga minggu ini dengan lebih mengukuh berbanding dolar AS pada paras 3.8995/9055 daripada 3.9060/9115, Jumaat lepas.
Unit tempatan itu juga diniagakan mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama minggu ini.
Ini termasuk mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5092/5132 daripada 2.5221/5474, naik berbanding pound Britain kepada 5.2511/2591 daripada 5.3211/3286 dan meningkat berbanding euro kepada 4.5882/5952 daripada 4.6325/6390, minggu lepas.
Berbanding mata wang negara anggota ASEAN, ringgit juga diniagakan kebanyakannya tinggi.
Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0724/0774 daripada 3.0904/0950, meningkat berbanding rupiah Indonesia pada 230.8/231.3 daripada 231.9/232.4, mengukuh berbanding peso Filipina kepada 6.70/6.72 daripada 6.73/6.74 dan naik berbanding baht Thailand kepada 12.4952/5216 daripada 12.5607/5849, sebelum ini.
-- BERNAMA