AM

Bukan Sekadar Gimik, Roti Pocong Laris Di Bazar Ramadan Paroi

20/02/2026 06:35 PM

SEREMBAN, 20 Feb (Bernama) -- Kreativiti seorang peniaga bazar Ramadan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini mencetus fenomena tersendiri apabila roti pocong dan martabak jualannya kembali menjadi tarikan pengunjung tahun ini.

Memasuki tahun keempat berniaga di bazar itu, Mohamad Firdaus Kamaruddin, 40, membuktikan menu signature roti pocong diperkenalkannya bukan sekadar gimik, sebaliknya menawarkan keunikan rasa yang sesuai dinikmati semua peringkat usia.

Pengunjung yang pertama kali ke bazar itu juga pasti teruja melihat replika pocong berkain putih di hadapan gerai yang menjadi tarikan di situ.

“Saya pernah berniaga di Ampang, Kuala Lumpur menggunakan nama Raja Martabak. Saya percaya kualiti makanan dan gimik kreatif mampu memastikan perniagaan bertahan.

“Roti pocong menggunakan daging atau ayam diperap dan dimasak dengan sos barbeku sebelum dibalut telur dadar serta kulit roti canai selain ditambah keju pada bahagian atas. Tidak jauh beza daripada martabak lain cuma bentuk dibuat seakan-akan pocong,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Mohamad Firdaus berkata harga jualan daripada RM10 hingga RM18 dan turut menyediakan pelbagai variasi seperti martabak dendeng daging, mac ‘n’ cheese, spicy crispy chicken, kambing bakar cheese serta martabak daging salai mozarela bakar.

“Roti pocong memang menjadi pilihan dan semalam ramai pelanggan bertanya,” katanya yang mempunyai kerja tetap dan hanya berniaga semasa Ramadan. 

Bapa kepada lima anak itu berkata sebagai persediaan, 800 roti disiapkan sebelum proses menebar bermula seawal 12 tengah hari, dengan perniagaan tersebut dibantu empat pekerja.

Pengunjung yang ingin dikenali sebagai Zaleha berkata mahu mencuba martabak dan roti pocong itu kerana tertarik dengan keunikan konsep tersebut selain harganya yang berpatutan dengan saiz juadah.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2525846