POLITIK

PAS Bincang Pengganti Ketua Pembangkang Di Parlimen Ahad Ini - Abdul Hadi

20/02/2026 04:05 PM

MARANG, 20 Feb (Bernama) --  Mesyuarat pusat PAS pada Ahad ini dijangka turut membincangkan sama ada parti itu akan mengambil alih jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen, yang sebelum ini disandang bekas Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Presiden PAS yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata setakat ini PAS belum mempunyai keputusan mengenai kedudukan jawatan itu susulan pemecatan Hamzah daripada Bersatu. 

“Kita akan bincang dalam mesyuarat PAS. Mesyuarat insya-Allah diadakan Ahad ini, termasuk nak membincangkan mengenai pengerusi PN,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Kuliah Duha di Masjid Rusila, di sini hari ini.

Sebelum ini, Bernama melaporkan bahawa PN akan mengadakan Mesyuarat Luar Biasa pada Ahad ini bagi membincangkan pelantikan pengerusi baharu gabungan itu menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa 1 Jan lepas.

Mesyuarat luar biasa yang dijadual berlangsung di Pejabat Agung PAS di sini, selepas selesai mesyuarat PAS Pusat itu, dijangka menamatkan spekulasi berhubung pengganti Ahli Parlimen Pagoh sebagai pengerusi PN . 

Mengenai penyertaan Hamzah dalam PAS, Abdul Hadi yang enggan mengulas lanjut berkata Muhyiddin dan Hamzah ada berjumpa dengannya dalam pertemuan berasingan, namun kedua-dua pemimpin itu hanya menyampaikan pendirian dan pandangan masing-masing.

“Semua pihak ada jumpa saya. Hamzah ada jumpa dan Muhyiddin pun ada jumpa. Dua-dua mari jumpa belaka…Masing-masing ada hujah (sendiri). Saya dengar belaka dua-dua pihak,” katanya.

Pada Jumaat lepas, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam kenyataan berkata Majlis Pimpinan Tertinggi dimaklumkan bahawa Lembaga Disiplin telah memutuskan Hamzah dipecat hak-hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu.

Mohamed Azmin berkata keputusan berkenaan dibuat kerana tindakan Ahli Parlimen Larut itu melanggar Fasal 9.1.4 perlembagaan parti berkenaan.

 -- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2525764