KUALA NERUS, 20 Feb (Bernama) -- Pemangku ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) Tengku Hazman Raja Hassan meminta anak buahnya segera melupakan kekecewaan selepas gagal ke separuh akhir Piala Malaysia selepas tewas secara agregat 3-2 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 15 Feb lepas.
Sebaliknya, beliau mahu pasukannya kembali fokus untuk mengutip tiga mata pada perlawanan Liga Super menentang Melaka FC yang akan berlangsung di Stadium Hang Jebat, malam esok.
Menurut jurulatih kelahiran Kelantan itu, walaupun TFC menang besar ke atas Melaka FC pada perlawanan sebelum ini, ia bukan alasan untuk pemain selesa dan mengambil mudah ancaman tuan rumah.
"Melaka FC di bawah bimbingan jurulatih berpengalaman E Elavarasan telah membuat beberapa pertukaran pemain import pada perpindahan jendela kedua.
"Sudah tentu akan ada perbezaan besar dalam pasukan mereka. Oleh itu, saya mahu semua pemain kekal fokus dan meneruskan momentum kemenangan yang kita lakar sebelum ini," katanya ketika dihubungi hari ini.
Tengku Hazman berkata beliau turut melakukan sedikit rombakan pada skuad utama yang akan diturunkan malam esok memandangkan terdapat pemain digantung perlawanan dan mengalami kecederaan.
"Careca misalnya tidak dapat diturunkan kerana digantung satu perlawanan. Ada beberapa pemain cedera dan saya perlu tengok keadaan mereka petang ini sebelum membuat keputusan akhir," katanya.
TFC menghuni tangga kelima Liga Super dengan 25 mata daripada 16 perlawanan manakala Melaka FC di kedudukan ke-12 iaitu kedua tercorot selepas hanya mengumpul 10 mata daripada 15 perlawanan.
-- BERNAMA