EKONOMI

Prestasi Dagangan Malaysia Naik 12.6 Peratus Kepada RM272.37 Bilion Pada Januari 2026 -- MITI

20/02/2026 02:14 PM

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Prestasi perdagangan Malaysia bagi Januari 2026 kekal kukuh, meningkat 12.6 peratus tahun ke tahun kepada RM272.37 bilion berbanding RM241.97 bilion dalam tempoh sama tahun lepas, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Dalam kenyataan hari ini, MITI menyatakan pertumbuhan eksport disokong oleh pengembangan eksport bagi bulan ketujuh berturut-turut yang mencatat pertumbuhan dua digit sebanyak 19.6 peratus kepada RM146.87 bilion manakala import meningkat secara sederhana sebanyak 5.3 peratus kepada RM125.50 bilion.

“Lebihan dagangan meneruskan momentum positif bagi bulan ke-69 berturut-turut sejak Mei 2020 yang berjumlah RM21.37 bilion.

“Perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing mencatat nilai bulanan tertinggi bagi Januari,” menurut MITI. 

Prestasi eksport bulanan memberangsangkan itu, menurut kementerian, didorong terutamanya oleh permintaan kukuh terhadap barangan perkilangan, khususnya barangan elektrik dan elektronik (E&E) yang mencatat pertumbuhan sebanyak 39.5 peratus atau hampir RM20 bilion.

Pertumbuhan eksport itu turut disokong oleh kenaikan eksport barangan optik dan saintifik serta jentera, kelengkapan dan peralatan.

“Dari segi pasaran, eksport ke semua rakan dagang utama menunjukkan peningkatan, diterajui oleh pertumbuhan dua digit yang kukuh ke China, Amerika Syarikat (AS), Taiwan dan Kesatuan Eropah (EU) manakala eksport ke ASEAN naik pada kadar lebih sederhana.

“Eksport ke negara rakan dagang perjanjian perdagangan bebas (FTA) juga meningkat, khususnya ke Hong Kong, Korea Selatan, Mexico, India, United Kingdom (UK), Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan New Zealand manakala eksport ke Taiwan dan Hong Kong mencatat nilai bulanan tertinggi setakat ini,” menurut kementerian itu.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Abu Bakar Yusof berkata agensi itu akan terus memainkan peranan proaktif dalam memperkukuh daya saing global eksport negara.

Beliau berkata ini menerusi pelaksanaan program pembangunan pengeksport serta promosi eksport bagi memastikan momentum pertumbuhan kekal mampan sepanjang tahun.

“Ini termasuk mempergiat usaha menggalakkan pengeksport dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk memanfaatkan sebanyak 17 FTA bagi memperkukuh akses pasaran dan tahap daya saing global.

“Bagi 2026, MATRADE telah merangka 203 program berimpak tinggi merangkumi misi perdagangan, sesi padanan perniagaan antarabangsa dan inisiatif pembangunan kapasiti. Inisiatif strategik ini disasarkan untuk memperkasa lebih 13,400 syarikat Malaysia, khususnya PMKS agar mampu menembusi, memperluas dan mengekalkan kedudukan di pasaran global,” menurut MITI.

Bagi kemajuan masa depan, MATRADE menyatakan Tinjauan Ekonomi 2026 Kementerian Kewangan mengunjurkan eksport Malaysia tumbuh sebanyak 2.8 peratus untuk tahun penuh, disokong oleh permintaan yang stabil di pasaran teknologi global yang bertindak sebagai pemangkin utama bagi prestasi eksport bernilai tinggi.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2525725