DUNIA

Keadaan Kemanusiaan Di Gaza “Kritikal” Susulan Sekatan Bantuan Berterusan - Agensi PBB

20/02/2026 12:33 PM

AMMAN/GAZA, 20 Feb (Bernama-Xinhua) -- Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) pada Khamis memberi amaran bahawa keadaan kemanusiaan di Semenanjung Gaza adalah “kritikal” berikutan sekatan berterusan terhadap akses bantuan, lapor Xinhua.

“Di seluruh Gaza, keadaan kemanusiaan kekal kritikal seiring kekangan terhadap akses kemanusiaan,” menurut UNRWA dalam satu kenyataan media.

Agensi PBB itu menyatakan pihaknya terus beroperasi dengan menyediakan penjagaan kesihatan asas, pendidikan, tempat perlindungan, bantuan makanan dan perkhidmatan perlindungan kepada penduduk yang hilang tempat tinggal.

“Bagaimanapun, skala keperluan melebihi apa yang dibenarkan untuk kami lakukan ketika ini,” katanya sambil menegaskan sekatan perlu ditarik balik.

Perkembangan itu berlaku ketika Pengarah Bantuan Perubatan di Gaza Bassam Zaqout memberi amaran mengenai krisis kesihatan yang semakin meruncing dengan ketibaan Ramadan, sambil menyifatkan sektor kesihatan berada dalam keadaan “lumpuh yang membawa maut”.

Zaqout dalam kenyataan kepada radio rasmi Voice of Palestine berkata hospital di Semenanjung Gaza berada di ambang penutupan sepenuhnya akibat krisis bahan api dan kekurangan alat ganti bagi generator.

Beliau menyifatkan gencatan senjata semasa sebagai “ilusi”, sambil berkata “serangan” Israel yang berterusan terus meragut nyawa dan menyebabkan kecederaan setiap hari.

Beliau turut berkata penduduk Gaza berdepan keletihan melampau akibat kekurangan bekalan air dan makanan yang serius.

Zaqout seterusnya mengkritik dasar Israel kerana mengubah bantuan kemanusiaan menjadi “aktiviti komersial”, membenarkan barangan masuk pada harga “terlalu tinggi” yang tidak mampu dibayar oleh 80 peratus penduduk.

Pejabat Penyelarasan Aktiviti Kerajaan di Wilayah, sebuah badan di bawah Kementerian Pertahanan Israel, pada Ahad berkata sebanyak 4,200 trak bantuan kemanusiaan memasuki Semenanjung Gaza antara 8 Feb hingga 14 Feb.

Sementara itu, pihak berkuasa kesihatan di Gaza pada Khamis berkata dua lagi mayat rakyat Palestin yang maut dalam tempoh 24 jam lepas dibawa ke hospital di wilayah itu, menjadikan jumlah korban sejak perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas berkuat kuasa pada 10 Okt 2025 kepada 611 orang, dengan 1,630 lagi cedera.

Pihak berkuasa itu menambah jumlah kumulatif korban akibat operasi ketenteraan Israel di Gaza sejak 7 Okt 2023 kini mencecah 72,069 kematian dan 171,728 kecederaan.

-- BERNAMA-XINHUA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2525699