SUKAN

Dari Sepang Ke Jeddah: Sharmila Bawa Visi Baharu F1 Di Bumi Arab

15/02/2026 08:14 PM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 15 Feb (Bernama) -- Apabila figura terkemuka sukan permotoran Sharmila Nadarajah ditawarkan untuk menyandang jawatan operasi kanan di Arab Saudi, Litar Jeddah Corniche sudah pun menyiarkan perlumbaan Formula Satu (F1) kepada penonton di seluruh dunia.

Namun, di sebalik paparan televisyen, cabaran sebenar adalah lebih kompleks: menukar litar jalan sementara menjadi operasi sukan permotoran yang berdaya komersial dan beroperasi sepanjang tahun.

Sharmila, seorang eksekutif sukan permotoran Malaysia yang sebelum ini mengetuai Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) dari 2022 hingga 2023, membina kerjayanya dengan menguruskan peralihan operasi serupa. Beliau memiliki pengalaman senior di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 2009 hingga 2019 serta Vietnam Grand Prix Corporation dari 2019 hingga 2022.

Graduan Universiti Malaya itu berkata babak baru dalam kerjayanya bermula apabila beliau ditawarkan jawatan Ketua Pegawai Operasi di Saudi Motorsport Company (SMC), syarikat yang mengurus operasi perlumbaan di litar Jeddah.

“Syarikat ini bukan sahaja terlibat dengan F1, tetapi juga mengendalikan acara antarabangsa lain di Arab Saudi, termasuk Rali Dakar dan Extreme E,” katanya.

“Industri sukan permotoran di seluruh dunia sangat kecil dan rapat, jadi semua orang saling mengenali. Saya agak terkejut, tetapi saya juga kenal Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ketika itu, Martin Whitaker, yang turut mengenali (Datuk) Razlan (Razali),” katanya kepada Bernama.

Razlan ialah bekas CEO SIC, manakala Whitaker, seorang eksekutif veteran sukan permotoran dari Britain, pernah mengetuai SMC dan memainkan peranan utama dalam pelancaran Grand Prix Arab Saudi.

Whitaker memegang jawatan CEO SMC dari 2021 sehingga digantikan oleh Mansour Al-Mokbel pada Mei 2025.

Setelah mengambil alih jawatan Ketua Pegawai Operasi (COO), Sharmila memberi fokus segera kepada kekangan litar yang asalnya direka untuk satu hujung minggu perlumbaan tahunan sahaja.

Ini membawa kepada perbincangan dengan badan induk F1 dan sukan permotoran dunia, FIA, bagi mendapatkan kelulusan operasi sepanjang tahun.

“Kami memohon penarafan homologasi kekal, iaitu lesen untuk litar beroperasi sepanjang tahun, dan FIA bersetuju dengan beberapa perubahan kecil pada litar,” katanya.

Kelulusan ini membolehkan Litar Jeddah Corniche berfungsi sebagai lokasi hibrid, mengekalkan ciri litar jalan sementara sambil membina infrastruktur kekal.

Litar ini disenaraikan dalam kalendar Kejuaraan Dunia F1 pada penghujung musim 2021 dan dijadualkan menjadi tuan rumah Grand Prix Arab Saudi sehingga 2027.

Dengan kepastian dari segi regulasi, fokus seterusnya ialah meningkatkan kelestarian komersial di luar hujung minggu perlumbaan.

Sharmila berkata ini termasuk membuka litar kepada aktiviti korporat, gaya hidup dan hiburan bagi memastikan penggunaan sepanjang tahun.

“Semasa perlumbaan, penglibatan peminat dikurangkan supaya semua fokus pada perlumbaan, tetapi selepas ia berakhir, ruang itu diaktifkan semula,” katanya.

Reputasi Sharmila dalam operasi sukan permotoran dibina lebih awal di Sepang.

Beliau menyertai SIC pada 2009 sebagai Ketua Pegawai Strategi, ketika litar itu berusaha memperkukuh penggunaan lebih daripada sedekad selepas F1 pertama kali tiba pada 1999.

Ditugaskan meningkatkan penggunaan litar, beliau memainkan peranan penting dalam merombak model komersial dan operasi.

Di bawah kepimpinannya, penggunaan litar meningkat daripada kira-kira 40 peratus kepada hampir kapasiti penuh. Beliau kemudian dilantik sebagai Ketua Pegawai Komersial, menjadikan SIC sebagai litar dengan kekerapan penggunaan lebih tinggi.

Pengalaman itu, kata Sharmila, menjadi panduan dalam pendekatan operasinya di Arab Saudi, termasuk inisiatif kelestarian sejajar dengan peta hala tuju alam sekitar F1.

“Sejak 2024, kami mula menjejak pelepasan karbon untuk selaras dengan F1 bagi mencapai karbon sifar menjelang 2030,” katanya.

Langkah-langkah termasuk penukaran secara berperingkat penjana kepada unit elektrik, inisiatif kitar semula dan stesen air boleh diisi semula.

Selain infrastruktur dan acara, pembangunan bakat kekal penting bagi kelestarian jangka panjang. Warga Arab Saudi kini membentuk majoriti tenaga kerja SMC, dengan kira-kira 95 peratus pekerja diambil dari dalam negara.

“Mereka belajar dengan cepat, tetapi yang lebih penting, mereka menyesuaikan diri dengan pantas,” katanya.

Berdasarkan pengalaman di Malaysia dan luar negara, Sharmila menegaskan ekosistem sukan permotoran bergantung kepada jurutera, pegawai dan kakitangan operasi sama pentingnya dengan pemandu.

Pendedahan kepada acara antarabangsa turut membolehkan profesional Malaysia membina kerjaya di luar negara.

“Saya melihat orang Malaysia di mana-mana. Mereka bekerja sebagai jurutera, mekanik, logistik dan kakitangan operasi di seluruh dunia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2524474