POLITIK

Sertai GRS Perlu Pegang Empat Teras Perjuangan - Armizan

15/02/2026 05:27 PM

KOTA KINABALU, 15 Feb (Bernama) -- Mana-mana pihak yang ingin menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu berpegang teguh pada empat teras perjuangan gabungan itu, kata Timbalan Setiausaha Agungnya Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata penyertaan ke dalam gabungan parti tempatan itu haruslah berpaksikan pada prinsip Sabah First, Sabah Prosper, Sabah Forward dan Sabah United, yang menjadi tunjang pada perjuangan GRS selama ini.

“Saya bukan bercakap mengenai (Datuk Seri) Ronald Kiandee sahaja, tapi mana-mana pihak yang ingin menyertai GRS, kita kena berbalik kepada empat teras perjuangan GRS. Pendapat peribadi saya kita kena terbuka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan pandu lalu sebuah restoran makanan segera di Benoni, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan tular bahawa Ronald Kiandee yang juga Naib Presiden Bersatu Datuk Seri akan menyertai GRS.

Armizan berkata perkara itu setakat ini hanyalah spekulasi dan belum pernah dibincangkan pada peringkat parti komponen gabungan berkenaan.

“Sebagai seorang ahli politik senior, saya tidak fikir Datuk Seri Ronald membuat keputusan dalam peringkat ini untuk ke mana-mana parti, bukan hanya GRS. Namun bagi saya itu hak beliau untuk menentukan hala tuju politik beliau," katanya.

Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata beliau tidak bercakap mewakili mana-mana parti komponen GRS sebaliknya menyuarakan pandangan peribadi berhubung perkara itu.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai dakwaan Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran akan menyertai GRS namun tiada pengesahan rasmi dikeluarkan setakat ini.

Bersatu kini berdepan krisis apabila Lembaga Disiplin parti memecat 17 ahlinya pada Jumaat lepas termasuk Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Ahli Parlimen Gerik Fathul Huzir Ayob dan Ahli Parlimen Padang Rengas Kapten Azahari Hasan. 

Terdahulu, Bersatu Bahagian Lembah Pantai dan Larut mengumumkan pembubaran kedua-dua bahagian itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2524408