ALOR SETAR, 15 Feb (Bernama) -- Replika kuda kayu goyang gergasi menjadi tarikan utama di Kampung Warisan Kebudayaan Pertubuhan Kebajikan San Sheng di sini pada sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini.
Penasihat tetap pertubuhan Pang Hu Khong, 62, berkata kampung warisan kebudayaan yang beroperasi sejak 15 tahun lepas membuat kelainan dengan membina replika kuda kayu goyang gergasi itu bagi meraikan kedatangan Tahun Kuda.
“Saya mendapat idea untuk membuat replika itu bulan lepas kerana teringat permainan kuda kayu goyang semasa kecil. Sekarang susah untuk jumpa kuda kayu itu dan boleh dikatakan kanak-kanak zaman kini tidak tahu tentangnya.
“Kalau ada pun, kuda besi di taman permainan tetapi ia tidak sama. Saya dan lima sukarelawan mengambil masa dua bulan untuk menyiapkan replika yang berketinggian kira-kira 12 kaki dan panjang 16 kaki,” katanya kepada Bernama hari ini.
Pang berkata proses membuat replika daripada kayu terpakai dan besi itu mengambil masa kerana kebanyakan mereka mempunyai kerja tetap dan hanya dapat datang pada sebelah petang dan malam.
“Replika itu siap pada 10 Feb sekali gus mengimbau kenangan zaman kanak-kanak kami. Buat masa ini, orang ramai boleh datang untuk melihat atau mengambil gambar pada waktu siang kerana pemasangan lampu akan bermula pada 17 Feb.
“Selepas lampu dipasang, orang ramai boleh datang dari 17 Feb hingga 3 Mac secara percuma. Sejak replika siap, ramai pengunjung daripada pelbagai bangsa datang bergambar,” katanya.
Pang berkata selain replika kuda, pelbagai aktiviti dan program diadakan termasuk tayangan wayang kulit dan galeri kenangan yang mempamerkan televisyen, radio dan telefon bimbit lama bagi berkongsi gaya hidup itu kepada generasi muda.
“Saya banyak memasukkan elemen kebudayaan Kedah merangkumi semua kaum. Saya harap orang ramai boleh datang untuk mempelajari dan memahami budaya satu sama lain bagi membolehkan kita menghormati agama serta kaum di negara ini dengan baik dan harmoni,” katanya.
-- BERNAMA