KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menggesa semua pihak, termasuk sektor awam dan swasta untuk memainkan peranan menjaga imej negara dengan mengamalkan budaya "Mesra Malaysia" yang lebih ikhlas dan profesional.
Menterinya Datuk Seri Tiong King Sing berkata segelintir petugas yang tidak mesra, termasuk kejadian membabitkan pemandu bas pelancong dan petugas pengangkutan awam yang bersikap kasar terhadap pelancong asing, tidak boleh dikompromi.
"Kita tidak mahu imej negara terjejas sehingga dianggap sebagai sebuah negara yang tidak bersedia atau tidak mesra. Sikap seperti ini perlu diubah segera," katanya mengulas usaha kementerian memperkasakan kualiti perkhidmatan petugas barisan hadapan pelancongan.
Tiong berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui pada majlis pelancaran Kempen Mesra Malaysia di ibu negara, hari ini.
Sehingga Januari 2026, sebanyak 9,498 pembantu pelancong telah berdaftar di bawah MOTAC dan sebanyak 158 siri kursus dilaksanakan membabitkan 4,932 petugas barisan hadapan, bagi tempoh 2024 hingga 2025.
"Walaupun hampir 5,000 telah dilatih, jumlah ini masih belum mencukupi. Kita mahu rakyat Malaysia mencontohi budaya luar seperti di Jepun, yang setiap pertanyaan dijawab dengan penuh hormat dan kesopanan. Bukan sahaja kepada pelancong luar, tetapi juga sesama rakyat tempatan," katanya.
Beliau turut menyeru agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk terus bekerjasama erat dengan kementerian bagi memastikan ekosistem pelancongan negara kekal selamat dan mesra kepada semua pelawat.
Dalam perkembangan berkaitan, MOTAC juga merancang mengadakan pertemuan dengan pengendali pusat beli-belah dan premis perniagaan bagi memastikan petugas mereka tidak bersikap pilih kasih terhadap pelancong.
Mengenai kemasukan pelancong asing, beliau memaklumkan pihaknya sedang giat mengadakan libat urus dengan syarikat penerbangan antarabangsa bagi meningkatkan kekerapan penerbangan ke Malaysia.
Maklumat terperinci mengenai tambahan jadual penerbangan itu dijangka diumumkan dalam masa terdekat.
Majlis turut menyaksikan penyampaian lencana Mesra Malaysia kepada wakil petugas barisan hadapan pelbagai sektor sebagai simbol komitmen dalam mengamalkan nilai layanan mesra pada peringkat operasi.
Acara simbolik menampal pelekat magnetik Kempen Mesra Malaysia pada kenderaan terlibat turut diadakan sebagai tanda pelaksanaan kempen di lapangan, termasuk kerjasama strategik dengan syarikat perkhidmatan e-panggilan, sebagai medium promosi bergerak.
Malaysia merekodkan 42.2 juta ketibaan pelawat pada 2025, sekali gus menyediakan asas kukuh bagi mencapai sasaran 47 juta pelawat di bawah kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
-- BERNAMA