DHAKA/ ISTANBUL, 11 Feb (Bernama-Anadolu) -- Rakyat Bangladesh bersedia untuk mengundi dalam pilihan raya umum ke-13 pada Khamis, yang pertama selepas kebangkitan Julai 2024, ketika kempen pilihan raya berakhir pada pagi Selasa.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan cuti umum selama tiga hari bermula 10 Feb sempena pilihan raya tersebut, lapor Anadolu Ajansi.
Ribuan orang, termasuk pekerja kilang, dilihat pulang ke kawasan pilihan raya masing-masing memandangkan sekatan ke atas pengangkutan awam akan dikuatkuasakan pada hari pengundian.
Tabish Mahdi, seorang pengundi yang berdaftar di kampungnya di daerah utara Rangpur dan bekerja di Dhaka, berkata dia tidak berjaya mendapatkan tiket bas walaupun telah melakukan beberapa percubaan.
“Nampaknya orang ramai sangat bersemangat dengan pilihan raya ini kerana mereka tidak dapat mengundi dalam pilihan raya lalu di bawah rejim Sheikh Hasina, terutamanya orang seperti saya,” katanya kepada Anadolu.
Kesesakan pilihan raya telah menyebabkan tekanan trafik dan kesesakan di beberapa lebuh raya utama yang menghubungkan Dhaka dengan bahagian lain di negara itu, menurut saluran TV tempatan, Channel24.
Pilihan raya itu dijadualkan selepas kerajaan Hasina digulingkan pada Ogos 2024, yang memaksanya melarikan diri ke India dan sekali gus menamatkan pemerintahan parti Liga Awami selama 15 tahun.
Menurut laporan oleh CAGE International, sebuah kumpulan advokasi hak asasi manusia, Bangladesh sedang menghadapi salah satu tugas paling mencabar namun penting dalam pilihan raya ini iaitu: "peralihan daripada pemerintahan autoritarian kepada tadbir urus yang baik."
"Parti politik yang bertanding dalam pilihan raya akan datang di Bangladesh mempunyai tanggungjawab yang besar untuk menyatakan visi tadbir urus yang menangani kesilapan masa lalu sambil membina institusi yang mampu menghalang ia daripada berulang," kata laporan itu.
Daripada 120.7 juta pengundi yang layak, satu perempat adalah pengundi kali pertama yang mendominasi pergerakan pada Julai-Ogos 2024 dan kini mahukan perubahan dalam budaya politik serta pentadbiran.
Kira-kira 330 pemerhati antarabangsa dari Turkiye, Amerika Syarikat, Malaysia, Indonesia, Jepun, Pakistan, Bhutan, Maldives, Sri Lanka, Filipina, Jordan, Iran, Georgia, Rusia, Kyrgyzstan, Uzbekistan, dan Afrika Selatan, serta EU, Komanwel, dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), sedang memantau pilihan raya tersebut.
Hampir 2,000 calon - mewakili lebih 50 parti politik serta calon bebas - bertanding untuk 300 kerusi parlimen. Pilihan raya umum ini akan diadakan serentak dengan referendum mengenai pembaharuan.
Satu pasukan pemerhati Turkiye yang dianggotai tujuh ahli bertemu ketua kerajaan interim Muhammad Yunus pada Selasa, manakala satu lagi Kumpulan Pemerhati Komanwel seramai 23 ahli turut bertemu beliau pada Isnin.
-- BERNAMA-ANADOLU