KUALA LUMPUR, Feb 10 (Bernama) -- Sistem Pengurusan Berintegrasi Perumahan (HIMS) yang dilaksanakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak mengawal atau menggantikan peringkat perundangan dalam sesuatu urus niaga perumahan, menurut Majlis Peguam.
Presiden Majlis Peguam Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata HIMS ialah platform pentadbiran yang digunakan bagi penilaian kelayakan, proses pengundian serta pengagihan unit.
“Majlis Peguam mengambil maklum mengenai penggunaan dan peluasan HIMS serta menyambut baik usaha pendigitalan dalam pentadbiran awam kerana memberi manfaat dari segi ketelusan, kecekapan dan integriti data. Sistem ini memudahkan proses permohonan, pengagihan serta pemantauan terhadap perumahan mampu milik.
“Bagaimanapun, setelah pembeli diperuntukkan sesuatu unit, proses seterusnya melibatkan aspek kontrak, perundangan dan kewangan. Pada peringkat itu, hak dan liabiliti pembeli serta pemaju adalah tertakluk kepada undang-undang bertulis termasuk Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966, perjanjian jual beli berkanun, Kanun Tanah Negara serta peraturan berkaitan,” katanya.
Mohamad Ezri berkata aspek perundangan dalam pembelian rumah masih belum diberi perhatian sewajarnya dalam reka bentuk HIMS atau komunikasi awam mengenainya walaupun kerajaan telah lama mengakui bahawa pembeli rumah memerlukan perlindungan undang-undang.
Beliau berkata ia mendorong kepada pelaksanaan perjanjian jual beli berkanun yang diwajibkan, sistem liabiliti kecacatan, peruntukan ganti rugi tertentu serta penubuhan Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah.
Jika kekurangan itu tidak ditangani, katanya ia boleh menimbulkan tanggapan bahawa pembelian rumah hanyalah sekadar proses pentadbiran, yang berpotensi mendedahkan pembeli terhadap risiko undang-undang dan kewangan.
Berdasarkan Seksyen 37 Akta Profesion Undang-Undang 1976, nasihat undang-undang hanya dibenarkan diberikan oleh peguam cara manakala individu bukan peguam dilarang memberikan sebarang nasihat undang-undang kepada pembeli.
“Sekiranya orang awam memasuki peringkat kontrak tanpa mendapatkan nasihat undang-undang yang sewajarnya, mereka akan terdedah kepada risiko seperti kontrak cacat, hak yang tidak dapat dikuatkuasakan, pertikaian berkaitan kecacatan, kelewatan serta kerugian kewangan,” katanya.
Mohamad Ezri turut menggesa KPKT agar memasukkan notis nasihat dalam HIMS bagi memaklumkan kepada pembeli apabila nasihat undang-undang diperlukan serta memastikan komuniti undang-undang dilibatkan sebagai pihak berkepentingan dalam inisiatif pendigitalan perumahan pada masa hadapan.
-- BERNAMA