JENAYAH & MAHKAMAH

Zacharevic Saman AirAsia Guna Mural Ikonik Tanpa Kebenaran

09/02/2026 07:19 PM

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Artis mural terkenal dari Lithuania, Ernest Zacharevic hari ini memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di sini terhadap AirAsia Berhad, mendakwa syarikat penerbangan itu telah menggunakan karya seni ikoniknya, “Kids on Bicycle”, tanpa kebenaran pada pesawat AirAsia pada 2024.

Zacharevic, yang merupakan pengarang dan pemilik hak cipta karya tersebut, menamakan AirAsia Berhad dan syarikat induknya, Capital A Berhad, sebagai defendan pertama dan kedua.

Pelukis yang berpusat di Pulau Pinang itu mendakwa pada Oktober 2024, beliau mendapati karyanya telah dilukis semula pada pesawat AirAsia, yang kemudiannya dipamerkan secara terbuka ketika pesawat tersebut beroperasi.

Menurut plaintif, defendan telah menyalin, mempamer, dan mengubahsuai karya seni itu tanpa pengetahuannya, lesen mahupun kebenaran.

Beliau juga mendakwa penggunaan karya tersebut bukanlah kejadian terpencil, malah terdapat corak penggunaan tanpa kebenaran oleh defendan dan pihak berkaitan dalam pelbagai kempen promosi dan pengiklanan sejak 2016.

Karya itu merupakan salah satu mural Zacharevic di Georgetown, Pulau Pinang, yang menurutnya dilukis pada 2012. Mural ikonik tersebut dicat semula pada 2024.

Zacharevic memohon mahkamah memberikan perintah terhadap dakwaan pelanggaran hak cipta dan hak moralnya, serta kesalahan peniruan dan campur tangan tidak sah dalam perniagaannya.

Antara remedi yang dimohon termasuk pengisytiharan haknya sebagai artis, perintah larangan terhadap penggunaan karya tanpa kebenaran, serta arahan supaya bahan yang melanggar hak cipta dipadam dan dimusnahkan.

Beliau juga menuntut pampasan kewangan yang setimpal.

Zacharevic diwakili peguam, Joachim Francis Xavier.

--- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2521976