Oleh Habsah Ismail
KOTA BHARU, 9 Feb (Bernama) -- Setiap kali menjelang Tahun Baharu Cina, sebuah kilang kecil di tepi Pasar Gok Kapur, Kampung Cina, di sini kembali hidup dengan rutin pembuatan kuih tradisional yang diwarisi sejak lebih 100 tahun lepas, meskipun namanya kian asing dalam kalangan generasi muda.
Dari ruang kerja sederhana itu, kuih mua lau dan biskut kesanih atau sanih dihasilkan menggunakan resipi turun-temurun, dengan keunikan tersendiri apabila keseluruhan proses pembuatannya digerakkan oleh pekerja Melayu dalam suasana kerja yang penuh harmoni.
Nur Mawardah Mohd Yusof, 25, antara pekerja berpengalaman di kilang itu berkata berbeza dengan kuih bakul yang sinonim dengan sambutan perayaan kaum Cina itu, mua lau dan kesanih kekal sebagai hidangan eksklusif yang hanya dikenali pelanggan setia serta jarang dijumpai di pasaran.
"Mua lau juga dikenali sebagai kuih lengo atau bijan dalam loghat Kelantan dan antara kuih yang paling banyak dihasilkan di sini kerana keunikan rasanya, namun tidak ramai yang tahu sebenarnya kuih ini ialah hidangan tradisi masyarakat Cina Kelantan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Nur Mawardah yang bekerja sambilan di kilang itu sejak remaja berkata pengeluaran mua lau dan biskut kesanih dihadkan kepada kira-kira 2,000 bungkusan walaupun permintaan meningkat menjelang perayaan bagi memastikan kualiti produk sentiasa terpelihara.
Selain Nur Mawardah, dua lagi pekerja Melayu, iaitu Auri Aslin Aslinda Mohd Rosli, 21, dan Nur Alisya Nabila Othman, 19, turut terlibat dalam proses pembuatan makanan itu.
"Kami bekerja di tempat lain dan hanya dipanggil bekerja secara sambilan kira-kira tiga bulan sebelum Tahun Baharu Cina yang merupakan tempoh paling sibuk, dari 8 pagi hingga 5 petang. Kami seronok bekerja di sini kerana hubungan yang baik, seperti keluarga, suasana kerja juga santai," katanya.
Sementara itu, pemilik kilang, Lee Su Wei, 46, berkata perniagaan itu diasaskan oleh mendiang bapa saudaranya, Lee Ghee Bee dan kini diwarisi generasi ketiga, dengan pembuatan kuih hanya dilakukan untuk sambutan Tahun Baharu Cina secara tradisional bagi mengekalkan keaslian serta nilai eksklusifnya.
Kuih mua lau, katanya, diperbuat daripada beras pulut, ubi keladi putih yang dibekalkan dari Thailand, pati padi, bijan dan minyak yang melalui proses pembuatan yang agak panjang dan memerlukan ketelitian.
Lee berkata proses bermula dengan menggaul doh sebelum dijemur sehingga kering, dipotong nipis berbentuk empat segi, kemudian digoreng sebelum disira dengan gula dan disalut pula dengan bijan goreng.
"Proses menjemur doh bergantung pada keadaan cuaca yang mengambil masa kira-kira satu setengah hari ketika panas terik atau tiga hari dalam keadaan lembap bagi memastikan bahagian dalam benar-benar kering," katanya.
Lee berkata proses menyira gula paling mencabar kerana gula perlu dimasak hampir sejam sehingga pekat dan mesti disira dengan cepat supaya tidak mengeras," katanya.
Biskut kesanih pula katanya, ialah biskut telur berbentuk empat segi yang diperbuat daripada kanji, santan segar dan kuning telur.
Katanya, walaupun kilang itu beroperasi secara bermusim, permintaan diterima bukan sahaja dari Kelantan, malah dari luar negeri termasuk Johor, selain Singapura dan Brunei.
“Selagi ada generasi yang mahu meneruskan pembuatan kuih ini, kami akan pertahankan warisan ini. Lebih bermakna apabila makanan ini dihasilkan bersama dengan masyarakat setempat dalam suasana harmoni,” katanya sambil menambah mua lau dan kesanih yang mempunyai sijil halal itu dijual pada harga RM24 bagi setiap 500 gram.
Lee berkata tiga kuih tradisional yang dihasilkan kilang itu termasuk kuih bakul bukan sekadar hidangan perayaan, tetapi juga menjadi simbol perpaduan serta bukti warisan budaya yang hampir dilupakan, masih mampu terus hidup dalam masyarakat berbilang kaum di Kelantan.
-- BERNAMA