AM

FRIM Anjur Sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia, Tekankan Pemuliharaan Dan Kelestarian

07/02/2026 08:41 PM

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Pemeliharaan kawasan tanah lembap adalah satu daripada keperluan strategik negara dalam mendepani cabaran perubahan iklim, kehilangan biodiversiti dan tekanan pembangunan, kata Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Datuk Dr Ismail Parlan.

Justeru, beliau berkata Sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia 2026 anjuran FRIM hari ini memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan ekosistem tanah lembap dan peranannya dalam kelestarian alam sekitar.

"Di Malaysia, tanah lembap merangkumi kira-kira 5.1 juta hektar kawasan semula jadi seperti paya gambut, paya laut, sungai, tasik dan terumbu karang, serta sekitar 699,980 hektar tanah lembap buatan termasuk tasik dan sawah padi, menjadikan keseluruhannya 31 jenis tanah lembap.

"Ekosistem tanah lembap memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan alam sekitar kerana ia berfungsi sebagai penapis semula jadi, penyimpan karbon, kawasan tadahan air, benteng daripada hakisan pantai serta habitat kepada pelbagai spesies flora dan fauna," katanya ketika berucap pada sambutan itu di Paya Burung, Taman Hutan FRIM di sini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan) FRIM merangkap pengerusi sambutan itu Dr Norwati Muhammad, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FRIM Mahmudin Saleh dan Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) Taufik Bahar.

Ismail juga berkata FRIM, dengan kerjasama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta agensi berkaitan, berperanan menekankan pengurusan tanah lembap secara holistik dan bersepadu melalui penyelidikan, pembangunan serta pendidikan untuk manfaat pihak berkepentingan, industri dan orang awam.

Beliau berkata Hari Tanah Lembap Sedunia disambut pada 2 Feb setiap tahun bagi memperingati pemeteraian Konvensyen Ramsar pada 1971 selain meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap peranan kritikal tanah lembap dalam menyokong biodiversiti dan mengurangkan risiko bencana.

Tema sambutan tahun ini iaitu Tanah Lembap dan Pengetahuan Tradisi: Meraikan Warisan Budaya menekankan kepentingan pengetahuan tradisi serta amalan komuniti setempat dalam pengurusan ekosistem tanah lembap secara harmoni dan lestari.

Pada majlis itu, Ismail turut melancarkan buku bertajuk Hutan Paya Laut Sungai Kuantan dan menyempurnakan penanaman simbolik pokok tampoi di Arboretum Buah-Buahan FRIM.

Norwati pula berkata sambutan itu menjadi platform untuk meningkatkan kefahaman orang ramai mengenai kepentingan pemeliharaan ekosistem tanah lembap selain menekankan kepentingan penglibatan komuniti dan kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan usaha tersebut dapat dilaksana secara berterusan.

Beliau berkata sempena sambutan itu, FRIM menganjurkan pelbagai aktiviti termasuk program walk with nature, pertandingan mewarna dan fotografi, pameran interaktif serta reruai budaya yang melibatkan penyertaan masyarakat setempat selain pengunjung.

Norwati berkata dua sesi ceramah umum mengenai kepentingan tanah lembap turut diadakan pada 24 dan 31 Jan lepas sebagai sebahagian daripada usaha pendidikan serta kesedaran awam.

Majlis itu turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman antara FRIM dan PTNJ sebagai simbol komitmen bersama dalam menyediakan platform penyelidikan perhutanan serta alam sekitar yang memfokus kepada ekosistem tanah lembap sekali gus memperkukuh usaha penyelidikan, pemeliharaan dan pengurusan mampan melalui perkongsian kepakaran serta sumber antara kedua-dua pihak.

FRIM adalah antara institusi penyelidikan perhutanan tropika terkemuka dunia, dan Taman Hutan FRIM Selangor telah diumumkan sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 11 Julai 2025 sekali gus mengiktiraf nilai saintifik, ekologi serta sejarah kawasan itu.

Terletak di kawasan seluas 545 hektar bersebelahan Hutan Simpan Bukit Lagong, FRIM berperanan sebagai pusat penyelidikan, pendidikan dan pemuliharaan alam sekitar selain destinasi ekopelancongan berasaskan hutan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2521361