SUKAN

Hoe Yean Raih Emas 200m Gaya Bebas Di MIAG

07/02/2026 09:28 PM

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Perenang negara, Khiew Hoe Yean, menambah koleksi pingatnya selepas menjuarai acara 200 meter (m) gaya bebas lelaki dengan emas pada Kejohanan Renang Kumpulan Umur Jemputan Malaysia (MIAG) di sini hari ini.

Perenang berusia 23 tahun itu menamatkan perlumbaan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, dengan catatan masa 1 minit 49.94 saat (s), meninggalkan pesaing dari Hong Kong, Tsz Lam Lo (1:51.67s) di tempat kedua dan Barry Lai (1:52.08s) di tempat ketiga.

Menilai prestasinya hari ini, pemenang emas Sukan SEA Thailand 2025 itu berkata walaupun berdepan jadual padat di MIAG, beliau berpuas hati dengan catatan masanya.

“Kami baru memulakan latihan sekitar sebulan lepas, selepas berehat tiga minggu selepas Sukan SEA Thailand, bermula pada 4 Jan. Untuk hanya sebulan latihan, ia menunjukkan tanda baik tentang aspek yang perlu diperbaiki,” katanya.

Sebelum itu, Hoe Yean meraih pingat perak dalam acara 400m rampaian individu dengan catatan masa 4:35.02s, di belakang Lam Lo yang menjuarai dengan 4:29.86s, manakala Low Zheng Yong dari Melaka membawa pulang gangsa dengan catatan 4:45.35s.

Beliau turut meraih pingat gangsa dalam acara 100m kuak lentang dengan catatan 58.06s, di belakang Jason Donovan Yusuf dari Indonesia (emas, 56.37s) dan Dongqi Yu dari China (perak, 57.27s).

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2521343