Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka bergerak secara mendatar minggu depan berikutan pasaran kekal dalam situasi berhati-hati.
Hal ini kerana pasaran dijangka menunggu keputusan daripada persidangan iaitu Palm and Lauric Oils Price Outlook Conference and Exhibition (POC2026) kali ke-37 minggu depan.
Peniaga Proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata, persidangan berkenaan mungkin memberi tumpuan kepada asas minyak sawit dan unjuran harga.
"Kami menjangkakan harga MSM akan berlegar-legar antara RM4,080 dan RM4,200 setiap tan minggu depan," katanya kepada Bernama.
Senada dengan pandangan Ng, Peniaga Kanan Minyak Sawit Interband Group of Companies Jim Teh berkata pasaran turut menanti data terkini daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) minggu depan.
Beliau berkata, pembeli fizikal untuk MSM akan datang dari China (berikutan Tahun Baharu Cina), India, Pakistan, negara Timur Tengah dan Kesatuan Eropah serta Amerika Syarikat.
"Sehubungan itu, harga MSM akan berlegar-legar antara RM3,800 hingga RM3,950 setiap tan," katanya.
Berdasarkan Jumaat ke Jumaat, kontrak Februari 2026 menurun RM78 kepada RM4,082 setiap tan, Mac 2026 kehilangan RM88 kepada RM4,121 setiap tan dan April 2026 susut RM75 kepada RM4,154 setiap tan.
Kontrak Mei 2026 melemah RM65 kepada RM4,163 setiap tan, Jun 2026 susut RM55 kepada RM4,158 setiap tan dan kontrak Julai 2026 berkurang RM44 kepada RM4,150 setiap tan.
Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 274,729 lot daripada 455,274 lot minggu lepas manakala kepentingan terbuka turun kepada 219,059 kontrak daripada 220,712 kontrak sebelumnya.
Harga fizikal MSM baharu untuk Januari Selatan berkurang RM70 kepada RM4,130 setiap tan.
-- BERNAMA