KUCHING, 6 Feb (Bernama) -- Program Literasi Kewangan GoGiggers 2025: Jelajah Borneo - Peringkat Sarawak berakhir dengan penuh kejayaan apabila 78 rakan penghantar dikenali sebagai “Rakan Riders” diraikan atas komitmen mereka terhadap daya tahan kewangan, sekali gus menandakan satu pencapaian penting dalam usaha Sarawak ke arah ekonomi digital yang inklusif dan mampan.
Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng ketika berucap pada majlis penutup program berkenaan di sini hari ini, memuji transformasi yang dicapai sepanjang enam bulan lepas, sambil menyifatkan para peserta bukan sekadar sebagai pekerja gig, sebaliknya sebuah komuniti yang semakin berkembang serta berdaya upaya dan berdaya tahan dari segi kewangan.
“Rakan Riders kita adalah nadi kepada ekonomi digital Kuching.
“Setiap kali seorang rakyat Sarawak menggunakan aplikasi untuk memesan makanan atau bungkusan, mereka sebenarnya sedang mengambil bahagian dalam transformasi digital yang sering kita perkatakan di Dewan Undangan Negeri,” katanya.
Beliau berkata sejak sekian lama, sektor gig dilihat sebagai “sementara” atau “tidak stabil”, namun beliau yakin program itu membuktikan pekerjaan gig boleh menjadi satu kerjaya yang mampan, profesional dan terjamin dari segi kewangan sekiranya dilengkapi dengan alat yang betul.
“Dengan menguasai kewangan anda, anda secara langsung menyumbang kepada tonggak keterangkuman sosial dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak (PCDS) 2030. Anda menunjukkan di Sarawak, tiada pekerja yang dipinggirkan,” katanya.
Mengambil peribahasa orang Sarawak, “Steady jak… simpan sikit-sikit pun boleh, lama-lama jadi bukit,” Wee berkata Rakan Riders kini berdiri di atas “bukit” itu, sekali gus menjadi contoh teladan kepada lebih 230,000 pekerja gig di seluruh negeri.
Wee turut merakamkan penghargaan kepada program yang dianjurkan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dengan kerjasama Foodpanda, Bank Simpanan Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Program hibrid selama enam bulan itu, yang dilaksanakan sejak Julai 2025 bertujuan melengkapkan para peserta dengan pengetahuan kewangan asas menerusi kaedah pembelajaran interaktif.
Sementara itu, Ketua Jabatan Pendidikan Kewangan Isi Rumah AKPK Nirmala M. Supramaniam berkata di Sarawak sahaja, Ringgit Diary merekodkan jumlah simpanan sebanyak RM28,000, dengan tujuh penunggang berjaya menyimpan lebih RM1,001 setiap seorang. Ringgit Diary ialah alat pengurusan kewangan yang digunakan dalam program berkenaan bagi membantu Rakan Riders menjejak pendapatan, perbelanjaan dan simpanan mereka.
Nirmala berkata apa yang paling menyentuh perasaannya bukanlah angka atau statistik, sebaliknya kisah-kisah perubahan peribadi, sambil berkongsi kisah seorang rakan penghantaran yang bermula sebagai pejalan kaki, dengan pendapatan dan pergerakan yang terhad.
“Dengan menyimpan secara konsisten RM5, RM10 dan RM20 setiap kali, penunggang itu berjaya mengumpul simpanan sebanyak RM2,000. Disiplin itu akhirnya membolehkannya membeli sebuah motosikal sendiri, sekali gus mengubah bukan sahaja keupayaan pendapatan tetapi juga masa depannya,” katanya.
-- BERNAMA