AM

MUCM Alu-alukan Lawatan PM India

06/02/2026 09:19 PM

MELAKA, 6 Feb (Bernama) -- Kolej Universiti Manipal Malaysia (MUCM) Melaka mengalu-alukan kehadiran Perdana Menteri India, Narendra Modi, semasa lawatan rasminya ke Malaysia esok, sekali gus menegaskan hubungan erat dan kerjasama yang berterusan antara kedua-dua negara.

Dalam kenyataan hari ini, MUCM memaklumkan lawatan itu menunjukkan kepentingan kerjasama dua hala, terutama dalam bidang pendidikan dan kesihatan.

“MUCM mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri atas kepimpinan berterusan serta sumbangan cemerlangnya terhadap pembangunan negara India, selain usaha beliau memperkukuhkan hubungan Malaysia‑India,” menurut kenyataan itu.

MUCM, yang telah beroperasi di Malaysia lebih 26 tahun, memaklumkan institusi itu memainkan peranan penting dalam ekosistem pendidikan tinggi dan kesihatan negara, dengan lebih 10,000 graduan MUCM yang menyumbang kepada sektor kesihatan negara.

“Hari ini, MUCM menarik pelajar dari Malaysia dan seluruh dunia, mencerminkan kedudukannya sebagai institusi yang dipercayai dalam pendidikan perubatan dan sains kesihatan,” katanya.

MUCM komited untuk memperkukuhkan hubungan dua hala melalui kerjasama dalam pendidikan, penyelidikan, inovasi dan pembangunan bakat dalam bidang kesihatan.

Kolej berkenaan turut mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepimpinannya memperkukuhkan hubungan Malaysia‑India serta memacu pertumbuhan ekonomi negara dan daya saing di peringkat global.

“Di bawah kepimpinannya, Malaysia terus menempatkan diri sebagai negara progresif yang menghargai pendidikan, inovasi dan kerjasama antarabangsa sebagai pemangkin utama pembangunan negara,” menurut kenyataan itu.

MUCM turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan Malaysia dan Kerajaan Negeri Melaka kerana menyediakan persekitaran kondusif yang membolehkan universiti itu berkembang maju.

“Sokongan berterusan, dasar yang baik serta penglibatan kolaboratif kedua-dua kerajaan telah membolehkan MUCM menyumbang secara signifikan kepada landskap pendidikan dan kesihatan negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2521083