JENAYAH & MAHKAMAH

Setiausaha NGO Misi Kemanusiaan Di Gaza Direman Disyaki Seleweng Dana RM4.2 Juta

05/02/2026 09:25 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Seorang setiausaha sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam pelaksanaan misi kemanusiaan di Gaza direman tiga hari hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menyalahgunakan kuasa dan menyeleweng dana pertubuhan berjumlah kira-kira RM4.2 juta.

Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan hari ini, perintah reman terhadap suspek berusia lingkungan 40-an itu dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas membenarkan permohonan agensi berkenaan di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira 6 petang semalam ketika hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

“Siasatan awal mendapati suspek yang juga pemilik sebuah syarikat makanan dipercayai meluluskan serta memindahkan dana NGO berjumlah kira-kira RM4.2 juta ke dalam akaun dua syarikat lain bagi tujuan pelaburan, dan individu dalam pengurusan pertubuhan berkenaan dipercayai mempunyai kepentingan dalam syarikat-syarikat berkenaan,” menurut sumber.

Perbuatan berkenaan dipercayai dilakukan antara 2022 hingga 2024 dan siasatan kini menumpukan kepada elemen penyelewengan dana awam memandangkan NGO berkenaan menerima sumbangan orang ramai bagi tujuan misi kemanusiaan.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM Datuk Norhaizam Muhammad ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2520649