AM

Marrybrown Perluas Kehadiran Jenama Di Mesir, Sasar Buka 100 Cawangan Dalam Tempoh 10 Tahun

05/02/2026 08:11 PM

JOHOR BAHRU, 5 Feb (Bernama) -- Rangkaian restoran makanan segera (QSR) halal global, Marrybrown, mengukuhkan lagi jenama di peringkat antarabangsa dengan menembusi pasaran Mesir susulan pemeteraian perjanjian francais dengan Talaat Moustafa Retail (TMR).

TMR merupakan anak syarikat konglomerat hartanah dan hospitaliti tersenarai yang terbesar Mesir, Talaat Moustafa Group (TMG). 

Marrybrown dalam satu kenyataan berkata perjanjian tersebut ditandatangani Pengarah Eksekutif Kumpulannya Datuk Joshua Liew dan Ketua Pegawai Eksekutif TMR Omar Hisham Talaat Moustafa di ibu pejabat Marrybrown, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor Lee Ting Han; Pengerusi dan Pengasas Marrybrown Datuk Lawrence Liew; Pengarah Urusan dan Pengasas Bersama Datin Nancy Liew; dan Pengarah Urusan TMR Alessandro Re.

Menerusi perjanjian itu, satu rangka kerja akan dibentuk untuk menjalin kerjasama jangka panjang, menggabungkan kekuatan jenama global dan kepakaran francais Marrybrown dengan pengetahuan dan pengalaman pasaran tempatan TMG dalam projek hospitaliti dan komersial.

Pada masa ini, Marrybrown mengendalikan lebih 500 cawangan di 16 negara termasuk di rantau Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Afrika, Asia Timur, Oceania dan sebahagian Eropah

Menurut Marrybrown, perjanjian itu merupakan strategi penting bagi pengembangan syarikat tersebut di peringkat antarabangsa khususnya di Timur Tengah dan Afrika dengan meletakkan Mesir sebagai tonggak utama bagi strategi pertumbuhan globalnya.

Susulan perjanjian tersebut, Marrybrown merancang untuk membuka 100 cawangan di Mesir dalam tempoh 10 tahun akan datang dengan pelancaran awal enam cawangan di Kaherah yang disasarkan pada 2026.

“Mesir menyediakan peluang penting kepada pertumbuhan antarabangsa Marrybrown dan kerjasama kami dengan TMG menyatukan dua organisasi yang berkongsi hasrat pengembangan dan penciptaan nilai berkualiti bagi tempoh jangka panjang,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Daniel Chan, dalam kenyataan itu.

“Kepakaran TMG di pasaran tempatan menjadikan mereka pilihan ideal untuk kami mengembangkan jenama Marrybrown di seluruh Mesir dan ke rantau yang lebih luas,” katanya.

Beliau berkata perkongsian itu membolehkan Marrybrown berkembang dengan secara bertanggungjawab sambil mendukung piawaian QSCV (Kualiti, Perkhidmatan, Kebersihan dan Nilai) dan menyediakan pengalaman yang konsisten dan berkualiti tinggi kepada pelanggan.

Mesir merupakan salah satu pasaran pengguna paling berpotensi di Timur Tengah dan Afrika, dengan populasi melebihi 110 juta dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih AS$400 bilion, didorong oleh peningkatan populasi muda berpendapatan sederhana.

Chan berkata kehadiran Marrybrown di Mesir merupakan satu pencapaian penting bagi syarikat sebagai jenama makanan segera halal pertama dari Malaysia yang memasuki pasaran negara berkenaan. 

Sementara itu, Omar Hisham berkata pemeteraian perjanjian itu menandakan langkah penting bagi usaha TMR untuk mempelbagaikan portfolionya.

“Kami menghargai peluang untuk bekerjasama dengan jenama ikonik halal Malaysia ini dan melihat langkah ini sebagai lanjutan daripada strategi kami untuk memperkenalkan konsep global terbaik dalam masyarakat.

“Model francais global yang kukuh, jenama halal dan pengembangan antarabangsa Marrybrown sejajar dengan visi jangka panjang kami,” kata Omar dalam kenyataan itu.

Portfolio kukuh TMG termasuk projek bandar kediaman bersepadu, pusat komersial, pusat membeli-belah, hotel dan destinasi riadah menyediakan platform terbaik untuk menyokong pelancaran cawangan Marrybrown secara berperingkat di seluruh Mesir.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2520610