AM

Pokok Tualang Berusia Lebih 100 Tahun Ditebang Bagi Laluan Projek LTU Pakej 2A

05/02/2026 03:52 PM

GUA MUSANG, 5 Feb (Bernama) -- Sebatang pokok tualang dianggarkan berusia lebih 100 tahun dan sekian lama menjadi mercu tanda laluan Gua Musang-Kuala Krai ditebang hari ini bagi memberi laluan kepada pembinaan projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 2A berhampiran Kampung Sungai Bayu di sini.

Penyelaras Projek LTU Pakej 2A Fizal Irwan Abdul Wahid berkata kerja-kerja penebangan bermula pada 9.15 pagi dan mengambil masa hampir tiga jam, melibatkan lebih 40 petugas terdiri daripada pihak perunding, kontraktor utama dan subkontraktor.

Beliau berkata pokok setinggi kira-kira 60 meter dengan lilitan batang sebesar tiga pemeluk itu ditebang selepas mendapat kebenaran Jabatan Perhutanan kerana kedudukannya berada tepat di jajaran projek LTU 2A.

Fizal Irwan berkata langkah keselamatan rapi dilaksanakan sepanjang operasi berikutan saiz pokok yang besar serta risiko terhadap pekerja dan pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.

“Proses penebangan dilakukan secara terkawal termasuk kawalan aliran trafik bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini. Pokok mula tumbang pada 11.46 pagi dan keseluruhan kerja selesai sepenuhnya pada 12.00 tengah hari,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Fizal Irwan berkata sisa pokok berkenaan akan diuruskan dan ditanam semula di kawasan berhampiran sebagai langkah pengurusan alam sekitar.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Mukim Relai Utara Mohd Sopian Che Seman berkata pokok tualang itu sejak sekian lama menjadi sebahagian identiti Kampung Sungai Bayu.

Beliau berkata walaupun penebangan pokok itu memberi kesan emosi kepada penduduk setempat, langkah itu terpaksa diterima demi kelancaran projek pembangunan jalan berkenaan.

“Pokok ini menjadi penanda kepada pengguna jalan raya bahawa mereka telah tiba di Sungai Bayu. Namun demi pembangunan, kami merelakannya dan berharap projek LTU Pakej 2A dapat disiapkan mengikut jadual bagi memberi manfaat kepada pengguna jalan raya,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2520462