EKONOMI

Malaysia Raih Penurunan Konsisten Ketidaksamarataan Pendapatan - Mohd Shahar

05/02/2026 12:53 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Malaysia menunjukkan penurunan yang konsisten dalam jurang agihan pendapatan berdasarkan pelbagai indeks dan petunjuk ekonomi, kata Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Mohd Shahar Abdullah.

​Beliau berkata, statistik terkini Laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2024 menunjukkan pekali Gini negara bertambah baik kepada 0.390 mata pada 2024 berbanding 0.404 mata pada 2022.

​"Ini selari dengan trend jurang agihan pendapatan yang semakin mengecil," katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

​Mohd Shahar menjawab soalan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) mengenai perancangan kerajaan untuk memperluas tafsiran berkenaan ketaksamaan ekonomi melampaui ukuran tradisional.

​Mengulas mengenai penggunaan Indeks Theil sebagai alat ukur kuantitatif, beliau berkata terdapat perubahan ketara dalam ketidaksamarataan merentas pelbagai kategori pendapatan.

​"Dapatan menunjukkan pendapatan isi rumah kasar (berdasarkan Indeks Theil) mencatatkan penurunan kepada 0.287 pada 2024 berbanding 0.303 pada 2022," katanya.

​Selain itu, beliau berkata kerajaan turut mengguna pakai Indeks Atkinson bagi mengambil kira sensitiviti masyarakat terhadap jurang pendapatan, khususnya bagi golongan berpendapatan rendah.

​"Analisis lain termasuklah Nisbah Serakan Persentil yang membandingkan pendapatan antara kelompok 10 peratus teratas (T10) dengan 10 peratus terbawah (B10) serta Nisbah Palma untuk melihat perbezaan antara kelompok T10 dan B40," katanya.

​Menurut Mohd Shahar, penggunaan indikator yang pelbagai ini membolehkan kerajaan membuat keputusan berasaskan data yang lebih tepat mengikut etnik, negeri, dan strata (bandar/luar bandar).

​-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2520347