AM

Jumlah Transaksi Guna SARA, Kes Penipuan Jual Beli Antara Isu Dikupas Dewan Rakyat Hari Ini

05/02/2026 08:16 AM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Jumlah transaksi yang dijana menerusi Sumbangan Asas Rahmah (SARA), kes penipuan melibatkan transaksi jual beli dan inisiatif terbaharu dalam memperluas skop perlindungan sosial adalah antara isu yang bakal dibincangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) mengajukan soalan kepada Menteri Kewangan berhubung jumlah peruntukan program SARA melalui sistem MyKasih yang dibelanjakan sepanjang 2025, serta nilai sebenar transaksi dijana dalam pasaran tempatan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Dr Zaliha juga ingin tahu status baki bantuan tidak dibelanjakan penerima hingga tarikh luput 31 Dis 2025 dan pelan penambahbaikan sistem bagi 2026.

Dalam sesi sama, Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan jaminan kerajaan bahawa penempatan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) di bawah kementerian itu tidak akan menjejaskan kepentingan, kebajikan serta keberkesanan pelaksanaan agenda berkaitan kaum India.

Sementara itu, V. Ganabatirau (PH-Klang) bertanyakan kepada Menteri Perpaduan Negara sama ada kerajaan bercadang untuk mewujudkan satu mekanisme atau badan penyelarasan pada peringkat nasional bagi mengurus dan menyelaras hal ehwal agama selain Islam, khususnya berkaitan isu tadbir urus rumah ibadat, pematuhan undang-undang, mediasi konflik komuniti dan keharmonian antara agama.

Pada sesi soal jawab, Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengemukakan pertanyaan kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup tentang jumlah kes penipuan melibatkan transaksi jual beli yang dilaporkan sejak 2023 hingga kini, dan jumlah kes yang dikenakan tindakan mahkamah dalam tempoh itu serta jenis hukuman dikenakan.

Turut tersenarai ialah soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) kepada Menteri Sumber Manusia berhubung inisiatif terbaharu dalam memperluas skop perlindungan sosial kepada pekerja termasuk golongan pekerja gig, kontrak dan separuh masa yang masih terpinggir.

Usai sesi soal jawab, persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan sesi penggulungan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja oleh kementerian-kementerian berkaitan.

Persidangan Dewan Rakyat berlangsung selama 20 hari hingga 3 Mac ini.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2520236