AM

247 Murid SK Tunjang Peroleh Manfaat Pendedahan Awal Berkaitan STI

04/02/2026 09:18 PM

KANGAR, 4 Feb (Bernama) -- Sebanyak 247 murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Tunjang, Kedah memperoleh manfaat pendedahan awal berkaitan bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) menerusi pelaksanaan Program STI 100³ anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Program itu dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektrik (FKTE), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan pihak sekolah berkenaan.

Penyelaras program itu Prof Madya Ir Ts Dr Ahmad Zaidi berkata program dikendalikan tenaga pengajar FKTE itu berlangsung sebanyak tiga siri pelaksanaan, iaitu pada 22 Jan dan 27 Jan lepas serta semalam di sekolah berkenaan yang melibatkan murid tahun empat, lima dan enam.

“Program ini bertujuan memberikan pendedahan awal kepada murid berkaitan bidang STI serta meningkatkan minat mereka terhadap bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) melalui pendekatan pembelajaran interaktif dan praktikal.

“Program ini memberikan fokus kepada pengenalan teknologi tenaga boleh baharu, khususnya tenaga solar yang semakin penting dalam pembangunan teknologi masa kini,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan UniMAP hari ini.

Ahmad berkata murid bukan sahaja didedahkan dengan konsep asas sains dan teknologi, tetapi mereka turut berpeluang menjalankan aktiviti hands-on menggunakan kit solar dan pendekatan itu membantu murid memahami aplikasi sebenar teknologi dalam kehidupan harian.

“Sepanjang program itu berlangsung, murid turut didedahkan dengan pelbagai aktiviti seperti ceramah interaktif, demonstrasi teknologi serta aktiviti berkumpulan yang mampu merangsang pemikiran kreatif dan kemahiran menyelesaikan masalah,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sebagai nilai tambah kepada komuniti sekolah, pada penghujung program, tiga unit sistem kamera litar tertutup (CCTV) berkuasa solar dipasang di beberapa lokasi strategik di sekitar kawasan sekolah itu.

“Inisiatif ini bukan sahaja memperkenalkan aplikasi teknologi tenaga hijau secara praktikal, malah turut membantu meningkatkan tahap keselamatan persekitaran sekolah.

“Pihak sekolah menyambut baik program seperti ini untuk diteruskan pada masa akan datang dalam usaha melahirkan generasi muda yang celik teknologi, kreatif serta mampu menyokong agenda pembangunan mampan negara,” katanya.

Majlis penutupan program itu turut menyaksikan pemeteraian jalinan kerjasama strategik antara FKTE dengan pihak SK Tunjang.

-- BERNAMA


 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2520194