KUALA NERUS, 4 Feb (Bernama) -- Harapan peminat Terengganu FC (TFC) untuk melihat penyerang import Yann Mabella beraksi pada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia, Jumaat ini, terpaksa dilupakan apabila pemain itu masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.
Meskipun sudah kembali ke Bumi Darul Iman selepas sebulan setengah menjalani rawatan pemulihan di Perancis, pemain berusia 29 tahun itu masih belum mendapat lampu hijau untuk turun berlatih bersama pasukan.
Mabella berkata beliau tiba di Terengganu pada Sabtu lalu selepas berehat panjang hampir empat bulan akibat kecederaan meniskus dan Ligamen Kolateral Medial (MCL) yang memerlukan rawatan khusus daripada pakar ortopedik.
“Saya sudah berjumpa doktor pasukan dan menjalani fisioterapi untuk pemeriksaan lanjut, namun masih belum bersedia untuk menjalani latihan penuh. Saya perlu melalui beberapa sesi pemulihan lagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pemain kelahiran Perancis itu mengakui tidak sabar untuk kembali beraksi dan membantu pasukan menjaringkan gol, sekali gus mengembalikan keyakinan penyokong terhadap reputasi skuad Penyu.
“Saya akan melakukan yang terbaik untuk memperbaiki tahap kecergasan. Saya sangat merindui padang, perlawanan dan penyokong. Buat masa ini, saya memberi fokus sepenuhnya kepada proses pemulihan untuk kembali beraksi,” katanya.
-- BERNAMA