AM

64,295 Pelawat Singapura Masuki Sarawak Pada 2025, Catat Jumlah Tertinggi

03/02/2026 06:55 PM

KUCHING, 3 Feb (Bernama) -- Sebanyak 64,295 pelawat dari Singapura direkodkan memasuki Sarawak tahun lepas, yang mencatatkan jumlah tertinggi, sekali gus menandakan pencapaian penting dalam pertumbuhan pelancongan negeri serta hubungan dua hala dengan republik itu.

 Menerusi kenyataan, Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (SATOS) hari ini memaklumkan jumlah berkenaan meningkat sebanyak 5.8 peratus berbanding 59,793 pelawat pada 2024.

Menurut SATOS, berdasarkan anggaran perbelanjaan purata RM3,500 setiap pelawat, pengembara dari Singapura menyumbang kira-kira RM225 juta dalam penerimaan pelancongan kepada Sarawak tahun lepas.

“Kadar pertumbuhan tahun ke tahun ini sahaja telah menjana pendapatan tambahan RM15.7 juta untuk ekonomi negeri, yang memberi manfaat kepada perniagaan tempatan dalam sektor perhotelan, peruncitan serta pengangkutan.

“Kuasa beli yang tinggi pengembara dari Singapura menjadikan negara itu satu daripada pasaran pelancongan yang paling menguntungkan dan strategik bagi Sarawak. Angka ini tidak termasuk ekspatriat yang menetap di Singapura, menunjukkan bahawa impak ekonomi sebenar mungkin jauh lebih besar daripada yang dilaporkan,” menurut kenyataan itu.

Pengerusi STATOS Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani berkata pencapaian itu mencerminkan dedikasi pasukannya selain kepelbagaian pengalaman menarik yang ditawarkan Sarawak.

“Peningkatan lebih 4,500 pelawat dari tahun ke tahun menunjukkan Sarawak bukan sekadar destinasi, tetapi juga pilihan utama bagi rakyat Singapura yang mahukan pengalaman pelancongan bermakna, mudah diakses serta berkualiti tinggi khususnya untuk percutian hujung minggu,” katanya. 

STATOS adalah inisiatif Kerajaan Negeri Sarawak untuk mengukuh dan memajukan hubungan perdagangan, pelaburan serta pelancongan baharu antara Singapura, Sarawak dan di peringkat antarabangsa.

Mula beroperasi pada Jun 2019, STATOS menyediakan khidmat nasihat kepada peniaga termasuk pengimport dari Singapura dan pengeksport dari Sarawak serta pelabur dan penggiat pelancongan yang mahu mengambil peluang daripada kedudukan Singapura sebagai pintu masuk ekonomi serantau.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2519692