JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Tempatan Disyaki Ejen Sindiket Pasport Terbang Diberkas

03/02/2026 03:12 PM

JOHOR BAHRU, 3 Feb (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) Johor menahan seorang lelaki disyaki ejen sindiket “pasport terbang” dalam Ops Serkap di sebuah pangsapuri di Taman Daya, di sini pada 29 Jan lepas.

Pengarah Imigresen Johor Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata operasi pada 6.50 petang itu dijalankan bertindak daripada hasil risikan Bahagian Penguatkuasaan selama hampir dua minggu.

Beliau berkata lelaki berusia 44 tahun itu ditahan mengikut Akta Pasport 1966 (Akta 150) manakala pihaknya turut merampas sembilan pasport warga asing yang digunakan sebagai dokumen perjalanan untuk tujuan keluar dan masuk ke negara ini.

“Dipercayai pasport berkenaan digunakan bagi mendapatkan cap keselamatan secara tidak teratur (tidak sah),” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pihaknya memandang serius terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan pasport dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan yang boleh mengancam kedaulatan negara.

Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak menyerahkan pasport kepada mana-mana pihak dan segera membuat laporan kepada JIM sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kegiatan seumpama itu.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2519625