KOTA BHARU, 3 Feb (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) Kelantan berjaya membongkar sindiket penyeludupan migran dengan penahanan dua lelaki warga tempatan dan lima pendatang tanpa izin dalam Ops Serkap yang dijalankan di sekitar Kota Bharu pada Ahad lepas dan semalam.
Timbalan pengarahnya Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman berkata lima pendatang berkenaan terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita warga Myanmar berusia antara 20 hingga 40 tahun.
Beliau berkata mereka dipercayai dibawa masuk ke negara ini melalui pengkalan haram di Sungai Golok sebelum menaiki bot ke Jeti Gok Kapur di Sungai Kelantan bagi mengelirukan pihak berkuasa.
"Kesemua warga asing itu kemudian dibawa ke sebuah lokasi transit di Kampung Raja Seksyen Dua, namun cubaan mereka gagal selepas dikesan hasil intipan dan risikan pegawai imigresen.
"Kelima-lima pendatang itu kini ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata dua lelaki tempatan yang ditahan dipercayai bertindak sebagai pengangkut dalam rangkaian penyeludupan migran berkenaan dan disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Nik Akhtarulhaq menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak, khususnya rakyat tempatan yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan atau melindungi pendatang.
Sehubungan itu, katanya orang ramai digesa menyalurkan maklumat berkaitan pendatang atau aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang bagi membantu tindakan penguatkuasaan di negeri ini.
-- BERNAMA