JENAYAH & MAHKAMAH

SPRM Syor 20 Langkah Perkukuh Tatakelola DBKL

03/02/2026 10:36 AM

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesyorkan 20 langkah penambahbaikan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi memperkemas tatakelola dan menutup ruang ketirisan melibatkan lima isu utama di agensi berkenaan.

SPRM dalam kenyataan berkata lima isu tatakelola dikenal pasti di DBKL melibatkan pengurusan pelaksanaan projek penerbitan kandungan siaran Studio Radio (Bahan Kreatif) serta tadbir urus Kejohanan Sukan Persatuan Badan Berkanun Malaysia 2023 (SUKANUN Ke-12).

"Isu lain yang turut diberi tumpuan adalah pengurusan dan pengagihan tapak Bazar Ramadan dan Aidilfitri, pengurusan kutipan sewa bagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA).

"Selain itu, penambahbaikan turut disarankan terhadap pengurusan dan pemantauan kontrak pelaksanaan perkhidmatan pengurusan pelbagai lesen perniagaan," menurut kenyataan itu.

SPRM memaklumkan syor berkenaan dibentangkan oleh Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) SPRM hasil pemerhatian dan siasatan yang dijalankan terhadap prosedur sedia ada.

Cadangan penambahbaikan itu disambut baik oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Fadlun Mak Ujud, yang menyifatkannya sebagai langkah penting dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan serta meningkatkan kecekapan dan integriti DBKL.

Sesi pembentangan berkenaan disampaikan oleh Ketua Cawangan F BPT, Zulhairy Zaidel.

Turut hadir ialah Pengarah BPT Datuk Mohd Zaki Hassan, Timbalan Pengarah II Ahmad Shukri Mohamad Taib dan Timbalan Pengarah III Norazlina Abd Rahim.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2519483