MELAKA, 2 Feb (Bernama) -- Seorang bekas pengurus jualan sebuah bank didenda RM220,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas 20 pertuduhan pilihan menerima suapan berjumlah RM211,636 antara Mei 2018 hingga September 2022.
Mohamad Faqih Mustapha, 37, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Dia dituduh menerima antara RM880 hingga RM16,723, yang dimasukkan ke dalam akaun bank adik perempuannya menerusi 19 transaksi dan satu transaksi ke dalam akaun banknya sendiri sebagai upah kerana membantu firma-firma guaman memperoleh rujukan kes pinjaman perumahan dengan sebuah bank semasa bertugas sebagai pengurus jualan.
Lelaki itu tidak melaporkan tanpa halangan munasabah pemberian suapan tersebut kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau pegawai polis sebagaimana dikehendaki di bawah Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah bank di Graha Peladang, Jalan Hang Tuah di sini, antara Mei 2018 hingga September 2022 dan pertuduhan mengikut Seksyen 25(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.
Peguam Azrul Zulkifli Stork memohon mahkamah mengenakan hukuman denda minimum bagi setiap pertuduhan pilihan itu memandangkan ia kesalahan pertama dilakukan dan tertuduh telah insaf dengan perbuatannya selain tidak mempunyai pekerjaan tetap ketika ini.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh.
Mahkamah kemudian memerintahkan Mohamad Faqih membayar denda RM220,000 atau dikenakan hukuman penjara antara dua hingga empat bulan jika gagal membayar denda, selain wang jaminan RM87,000 dipulangkan tertuduh.
-- BERNAMA