JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki Warga Emas Maut, Enam Cedera Dalam Kemalangan Tiga Kenderaan

01/02/2026 08:46 PM

IPOH, 1 Feb (Bernama) -- Seorang lelaki warga emas maut manakala enam lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 13, Jalan Cameron Highlands–Simpang Pulai, hari ini.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan melibatkan Perodua Myvi, Nissan Serena dan Mitsubishi Expander pada pukul 3.04 petang.

“Setiba di lokasi, kami mendapati pemandu Myvi berusia 65 tahun meninggal dunia di tempat kejadian. Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun serta tiga penumpang wanita dalam lingkungan 20 hingga 50 tahun cedera,” katanya.

Beliau berkata pemandu Nissan Serena, seorang lelaki berusia 60 tahun selamat, manakala dua penumpang lain, iaitu seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dan seorang wanita berusia 60 tahun, mengalami kecederaan.

Beliau berkata semua enam penumpang yang menaiki Mitsubishi Expander selamat dalam kejadian itu.

Mangsa yang meninggal dunia dan yang cedera telah dihantar ke Hospital Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2519214