JENAYAH & MAHKAMAH

Pengurusan E-waste: SPRM Beku Akaun RM1 Juta, Sita Wang Tunai RM170,000

01/02/2026 08:55 AM

KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan dua akaun bank bernilai kira-kira RM1 juta dalam siasatan kes pengurusan sisa elektronik (e-waste) membabitkan Ketua Pengarah, Timbalan Ketua Pengarah, seorang penolong pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan seorang orang awam.

Menurut sumber, pembekuan membabitkan satu akaun syarikat berjumlah kira-kira RM700,000 dan satu akaun milik individu kira-kira RM300,000, selain sitaan wang tunai sebanyak RM170,000.

“Pada masa sama, siasatan SPRM kini menjurus kepada dakwaan salah guna kuasa dan rasuah berkaitan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat pengurusan buangan terjadual yang terlibat dengan aktiviti pelupusan bahan buangan secara haram,” katanya.

Pada Jumaat lepas, Ketua Pengarah, Timbalan Ketua Pengarah dan penolong pegawai JAS ditahan reman tujuh hari hingga Khamis ini, manakala seorang lagi orang awam direman selama tiga hari hingga hari ini.

Siasatan kes berkenaan telah mula dijalankan Bahagian Siasatan SPRM sejak 19 Jan lepas.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2519036